Monday, May 04, 2009

Pembebasan

KETIKA George W Bush, Vladimir Putin dan 50 pemimpin negara serta pertubuhan antarabangsa berkumpul di Moscow bagi merayakan ulang tahun ke-60 pembebasan Eropah daripada cengkaman Nazi, sekumpulan pemimpin Arab dan Amerika Latin yang mengadakan pertemuan di Brasilia, sepakat mengecam pengaruh global negara kaya dan penjajahan Israel di bumi Palestin.
Mereka ini, termasuk Presiden Brazil, Luiz Inacio da Silva; Presiden Venezuela, Hugo Chavez dan Presiden Iraq, Jalal Talabani, secara terang mengkritik dasar Amerika Syarikat (AS) dan konsep perdagangan bebas yang didakwa mereka hanya memberi keuntungan kepada negara kaya dan syarikat multinasional, tetapi meminggirkan rakyat negara membangun.
Malah, Deklarasi Brasilia yang dikeluarkan pada akhir pertemuan itu dengan jelas mengecam tindakan AS mengenakan sekatan terhadap Syria, menuntut rejim Yahudi menghentikan pencerobohan terhadap penempatan Palestin, menarik diri daripada kawasan sempadan yang ditetapkan sebelum Perang Arab 1967 dan menyeru supaya hubungan ekonomi antara kedua-dua rantau ditingkatkan.
Sayangnya, pertemuan yang pertama kali diadakan itu tidak disertai pemimpin dari beberapa negara Arab yang cukup berpengaruh seperti Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Syria. Bagi Arab Saudi dan Jordan, ketiadaan pemimpin mereka mungkin boleh difahami kerana kedua-duanya mempunyai hubungan intim dengan AS, tetapi bagaimana pula dengan negara Arab lain?
Pada awalnya, AS memang berhasrat untuk menyertai pertemuan itu sebagai pemerhati, tetapi ditolak oleh tuan rumah Brazil.
Tindakan itu ternyata wajar kerana hasil pertemuan berkenaan jelas tidak memihak kepada AS, malah mengumandangkan suara anti-AS.
Hakikatnya, AS dan Bush tidak pernah rasa tergugat dengan sebarang kecaman yang dilemparkan kepada mereka. Ibarat anjing menyalak bukit, kecaman hanya sekadar untuk menyedapkan hati sesetengah pihak, sedangkan pihak yang dikecam sedikitpun tidak tergugat dan terjejas.
Mengenai perayaan mengingati kejatuhan Nazi Jerman yang juga menandakan berakhirnya Perang Dunia Kedua itu, ia bukan hanya diadakan di Moscow, malah London, Berlin dan Paris.
Walaupun cara sambutannya berbeza, satu perkara yang begitu menonjol sepanjang acara itu ialah berkibarnya bendera Yahudi di mana-mana kerana selain runtuhnya pengaruh Nazi, ia juga bermakna kemenangan kepada bangsa Yahudi yang sebelum itu ditindas oleh Hitler dan konco-konconya.
Apapun, satu kenyataan yang menarik untuk kita renungkan ialah kenyataan Putin pada majlis berkenaan iaitu AS dan Eropah akan terus bekerja sama dan memperjuangkan kebebasan serta harapan yang sudah lama dinafikan di Afghanistan, Iraq, Lubnan hingga ke Timur Tengah.
Apakah kebebasan dan harapan yang dimaksudkan Putin itu? Mungkin bagi AS dan Bush menjatuhkan rejim Taliban dan Saddam Hussein membolehkan demokrasi dapat ditegakkan di Iraq dan Afghanistan, tetapi yang nyata sehingga hari ini rakyat di kedua-dua negara itu terus menderita.
Pernahkah kita dengar Baghdad dan Kabul yang aman damai selepas pencerobohan tentera AS? Apa yang jelas, tidak ada hari tanpa kematian atau letupan bom di sana.
Kematian atau kecederaan bukan lagi satu yang pelik, malah sudah menjadi perkara biasa.
Bush mungkin berjaya menubuhkan kerajaan baru di Afghanistan dan Iraq, tetapi ia tidak bermakna rakyat kedua-dua negara dengan mudah akan memberi sokongan dan dokongan kepada kerajaan boneka itu.
Ketika kita mengingati kematian berjuta-juta mangsa Perang Dunia Kedua sama ada di Eropah atau Asia, kita juga jangan mudah lupa mangsa yang terkorban di seluruh dunia hanya kerana kerakusan manusia.

BH 12 May 2005

Demam bola

SEJAK akhir minggu lalu, jutaan penduduk dunia menjadi pencandu televisyen. Lebih parah lagi kita di Malaysia kerana sanggup berjaga hingga lewat pagi untuk menonton aksi hebat orang Eropah bermain bola sepak. Ternyata, tarikan Kejohanan Bola Sepak Negara-negara Eropah (Euro 2004) yang sedang berlangsung di Portugal, begitu hebat.
Semua ini kerana bola sepak sudah mendunia. Ia tidak mengenal sempadan negara, bangsa, budaya dan agama. Ramai di antara kita, termasuk remaja dan anak kita yang masih di sekolah rendah, lebih mengenali Zinedine Zidane, Luis Figo, David Beckham dan Francesco Totti, berbanding pemimpin politik dan tokoh korporat kita sendiri.
Bola sepak juga membuatkan ramai orang hilang kewarasan. Apabila Portugal kalah mengejut 1-2 kepada Greece dalam perlawanan pembukaan, Figo dan rakannya dikecam, disindir dan dikutuk bukan saja oleh peminat bola sepak negara itu, malah medianya sendiri. Mereka menganggap kekalahan itu sesuatu yang begitu memalukan.
Begitu juga apabila England kalah kepada Perancis, peminat bola sepak England yang sememangnya terkenal ganas, merusuh dengan melontarkan batu kepada polis dan merosakkan harta awam. Mereka bukan saja melakukannya di Lisbon, malah di London.
Kenapa bola sepak Eropah begitu popular sehingga kita yang berada jauh beribu-ribu kilometer dari mereka, tidak ada hubungan emosional, baik hubungan darah atau bangsa, malah kebanyakan kita tidak pernah bertentang mata dengan mereka kecuali di kaca televisyen, begitu taksub dengan mereka? Kenapa aksi bintang bola sepak Eropah mampu menyihir umat manusia?
Ada beberapa sebab yang boleh kita andaikan.
Pertamanya, orang seperti Zidane, Figo, Beckham, Totti dan sebelumnya, Maradona serta Pele, dikagumi kerana kehebatan serta ketangkasan mereka mengawal bola, merancang dan membenamkan bola ke pintu gol lawan. Mereka adalah seniman yang beraksi dalam drama bola sepak.
Kedua, bola sepak Eropah adalah permainan yang meletakkan semangat kesukanan pada tahap paling tinggi. Setiap pemain tunduk kepada peraturan, jarang berlaku bantahan keras terhadap hukuman dijatuhkan pengadil, manakala pengadil pula menjunjung tinggi suara hatinya dalam menjatuhkan hukuman, tanpa campur tangan pihak lain. Kalah dan menang adalah lumrah yang diterima dengan hati terbuka.
Ketiga, sukan itu terutama bola sepak moden adalah dunia profesional. Setiap orang yang terbabit di dalamnya, sama ada pemilik kelab, pengurusan, jurulatih, pengadil dan pemain, tahu betul tugas mereka.
Mereka menunaikan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh tanpa campur tangan pihak lain.
Keempat, bola sepak Eropah adalah sukan yang penuh dengan disiplin dan kerja keras. Tidak mungkin ada pemain yang mampu bermain setiap minggu tanpa disiplin, latihan dan kerja keras, sama ada ketika bermain, berlatih atau mengatur kehidupan harian.
Oleh itu, apabila ketika menonton Euro 2004, kita sebenarnya menonton sekumpulan profesional yang menjunjung tinggi semangat kesukanan, berdisiplin, bekerja keras dan tahu menguruskan bakat yang mereka miliki dengan baik. Hasilnya, lahirlah satu temasya yang mampu menarik perhatian jutaan manusia.
Terakhir dan yang paling penting, Euro 2004 adalah kejohanan bola sepak orang Eropah atau `orang putih'. Sememangnya apa saja yang dilakukan orang Eropah menjadi perhatian dunia. Sebenarnya, mereka bukanlah begitu hebat kerana ramai lagi pemain bola sepak, khususnya di Brazil dan Argentina yang lebih hebat.
Tetapi orang Eropah mempunyai kelebihan iaitu mereka pandai memasarkan diri mereka dan produk mereka. Kita pula mudah terpengaruh dengan mereka. Selain Euro, kita juga terpaku melihat UEFA Championship League (Liga Juara-Juara), kejohanan bola sepak membabitkan kelab di Eropah seperti Chelsea, Porto, Real Madrid, Arsenal, Juventus dan Ajax.
Di Amerika Selatan juga ada Copa America dan Copa Libertadores. Copa America adalah kejohanan bola sepak membabitkan pasukan negara di Amerika Selatan seperti Brazil, Argentina, Uruguay, Paraguay dan Peru, manakala Copa Libertadores pula membabitkan kelab terkemuka mereka seperti Boca Juniors, Palmeiras, River Plate dan Vasco Da Gama.
Bagaimanapun, Copa America tidak dapat menandingi Euro, manakala Copa Libertadores gagal mengatasi UEFA Championship League. Orang Amerika Selatan ada bakat tapi tidak pandai memasarkannya. Sebaliknya, ramai pemain mereka menjadi terkenal kerana bermain di kelab di Eropah. Kita mengenali Ronaldo di Real Madrid, Ricardo Oliveira (Valencia), Hernan Crespo (Chelsea), Juan Pablo Angel (Aston Villa), Rogue Santa Cruz (Bayern Munich) dan ramai lagi.
Sama juga dengan kita. Orang kita ada bakat tapi bukan sekadar tidak pandai memasarkannya, malah ramai yang gagal untuk pergi jauh kerana tidak berdisiplin, tidak mahu bekerja keras dan tidak tahu menguruskan bakat yang mereka miliki.

BH 17 Jun 2004

Komunisme

KREMLIN sudah lama berubah, begitu juga beberapa negara Eropah Timur lain. Ideologi komunis kini berada di penghujung jalan. Hanya sejumlah kecil negara saja yang masih berada di bawah pengaruh komunisme. Oleh itu, tidak menghairankan jika Presiden George W Bush begitu lantang menyeru supaya Presiden Fidel Castro digulingkan bagi membolehkan sistem pemerintahan demokrasi diperkenalkan di Cuba.
Selepas menjatuhkan rejim Taliban di Afghanistan dan Saddam Hussein di Iraq, Bush semakin berani bersuara. Seruan untuk menggulingkan Castro yang dibuat pada Sidang Kemuncak Negara Amerika di Monterrey, Mexico, Isnin lalu, jelas menunjukkan keangkuhannya.
Sememangnya, kita tidak menyokong komunisme, tetapi setiap negara mempunyai kedaulatan masing-masing. Tidak perlu desakan orang lain kerana rakyat Cuba berhak membuat keputusan dan memilih siapa yang layak memerintah mereka. Jika rakyat Cuba inginkan perubahan, mereka akan melakukannya sendiri tanpa perlu campur tangan asing, khususnya Amerika Syarikat (AS) yang dilihat cuba menjadi polis dunia.
Bush yang mendakwa mendapat `restu dari Tuhan' untuk membebaskan mana-mana negara yang dikuasai diktator, turut menuduh Castro seorang diktator kerana terlalu lama memerintah dan mengingatkan 37 pemimpin negara Amerika yang hadir pada sidang berkenaan bahawa sistem pemerintahan diktator tidak ada tempat di Amerika.
Tidak semua pemimpin yang hadir bersetuju dengan Bush, malah Presiden Venezuela, Hugo Chavez, berpendapat lamanya tempoh seseorang pemimpin itu berkuasa tiada hubungan dengan diktator kerana Castro dipilih oleh rakyatnya melalui pilihan raya. Bukan hanya Chavez, ramai lagi pemimpin dan penduduk Amerika Latin yang tidak bersetuju dengan Bush, malah sentimen anti-AS semakin meluas di rantau itu.
Sebenarnya, dendam Bush terhadap Castro sudah lama, malah ramai lagi Presiden AS sebelum ini turut berusaha untuk menjatuhkannya tetapi gagal. Sebaliknya, Castro dengan penuh yakin pernah berkata bahawa dia akan selamat daripada sebarang rancangan pentadbiran Bush untuk menggulingkannya dan kerajaan satu parti komunis itu akan kekal sehingga dia mati.
"Sekumpulan orang bodoh yang bermesyuarat di White House akan mati dalam keadaan membenci. Mereka berharap 15 minit selepas kematian saya revolusi ini akan tamat, tetapi mereka tidak tahu negara ini mempunyai beribu-ribu pemimpin," katanya sebagai reaksi kepada mesyuarat pertama Suruhanjaya Bantuan Pembebasan Cuba di Washington, minggu lalu.
Suruhanjaya berkenaan yang diketuai Setiausaha Negara AS, Colin Powell dan Setiausaha Perumahan yang berasal dari Cuba, Mel Martinez, ditubuhkan oleh Bush bagi mewujudkan peralihan demokratik di pulau berkenaan, sama seperti tindakannya menyokong kumpulan penentang Saddam sebelum menyerang Iraq awal tahun lalu.
Ternyata, pemimpin berusia 77 tahun itu masih tegak berdiri, tanpa rasa takut dan ngeri. Sejak mula berkuasa selepas menggulingkan diktator sayap kanan yang disokong AS pada 1959, beliau sudah berdepan dengan 10 Presiden AS daripada Dwight Eisenhower, John F Kennedy, Lyndon Johnson, Richard Nixon, Gerald Ford, Jimmy Carter, Ronald Reagan, George H W Bush (ayah Bush), Bill Clinton dan Bush sendiri. Terbukti Castro masih lagi menjadi Presiden Cuba dan gagah.
Apapun, pemerintah komunis Cuba selama ini bagaikan duri dalam daging bagi AS dan Bush. Tidak hairan jika Bush begitu berharap negara kepulauan yang terletak 148 kilometer dari Florida itu berubah menjadi sebuah negara demokrasi.
Keghairahan beliau jelas berdasarkan ucapannya pada sidang berkenaan: "Dengan contoh demokrasi yang kita miliki, kita harus berpihak kepada kelompok orang berani di Cuba, yang lebih setengah abad berjuang melawan kezaliman dan bebas daripada cengkaman Castro."
Castro memang dikenali sebagai pemimpin yang tegar dan memusuhi AS. Dia berusaha mendapatkan sokongan beberapa negara lain. Sejak beberapa tahun terakhir, muncul beberapa pemimpin berhaluan kiri di Amerika Latin, seperti di Brazil, Venezuela dan Argentina yang menjalin hubungan erat dengan Castro.
Malah, ketika mengunjungi Iran, Syria dan Libya pada Mei 2001 lalu, Castro mengatakan jika Iran dan Cuba bekerjasama, AS akan tunduk kepada mereka. Inilah yang sebenarnya menakutkan AS sehingga ada pihak di negara itu pernah meletakkan Cuba sebagai paksi kejahatan kedua bersama Syria dan Libya, selepas menamakan Iran, Iraq dan Korea Utara sebagai paksi kejahatan pertama.
Sentimen anti-AS bukan baru di Amerika Latin, malah seabad lalu bekas diktator Mexico, Porfirio Diaz, pernah berkata: "Poor Mexico! So far from God and so close to the United States." (Kasihan Mexico! Semakin jauh daripada Tuhan dan semakin hampir dengan AS).

BH 15 Januari 2004

Kisah Ersa

KETIKA seluruh dunia ghairah menanti munculnya tahun 2004, seorang wartawan maut di medan perang. Ia bukan berlaku di Baghdad, Tebing Barat atau Mindanao, tetapi di sebuah kampung pedalaman di Simpang Ulim, Aceh Timur, Indonesia.
Mayat Sory Ersa Siregar, 52, wartawan stesen televisyen Rajawali Citra Televisi Indonesia (RCTI) ditemui dengan sekurang-kurang dua peluru bersarang ditubuhnya, satu menembusi leher dan satu lagi di dadanya.
Ersa tertembak ketika pertempuran antara tentera Indonesia dengan anggota kumpulan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Tiada siapa yang mengaku menembaknya, tetapi peluru yang ditemui pada tubuh Ersa adalah dari senjata milik tentera Indonesia.
Kisah Ersa bermula pada 29 Jun tahun lalu apabila beliau dan jurukamera stesen televisyen berkenaan, Ferry Santoro, dilaporkan hilang dalam perjalanan dari Kuala Langsa di Aceh Timur ke Lhokseumawe di Aceh Utara.
Ternyata mereka dijadikan tebusan oleh GAM. Pemandu kenderaan yang mereka naiki bagaimanapun sempat melarikan diri. Malangnya, ketika usaha pembebasan Ersa dan Ferry sedang rancak diusahakan, beliau terbunuh selepas terperangkap dalam pertempuran berkenaan. Sehingga kini Ferry dipercayai masih dalam tahanan GAM.
Sejak konflik Aceh kembali marak berikutan gagalnya usaha damai antara kerajaan Indonesia dan GAM diikuti langkah Jakarta melancarkan operasi tentera di wilayah itu Mei tahun lalu, tiga wartawan sudah menjadi mangsa.
Kira-kira dua minggu sebelum Ersa dan Ferry ditahan oleh GAM, mayat jurukamera stesen televisyen TVRI yang hanya dikenali sebagai Jamaludin, ditemui di daerah Lamyong di Banda Aceh dan sampai sekarang tidak diketahui siapa yang membunuhnya.
Pada 26 November lalu, jurukamera stesen televisyen Indosiar, Arie Wailan Orah, meninggal dunia selepas kereta perisai tentera yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Aceh Singkil. Sebenarnya, sejak Aceh bergolak sudah ramai wartawan yang menjadi mangsa, sama anda oleh tentera atau GAM.
Bukan Ersa saja yang terkorban di medan perang yang penuh bahaya, malah ramai lagi. Menurut Reporters Without Borders (Wartawan Tanpa Sempadan), tahun lalu saja 42 wartawan terbunuh di seluruh dunia berbanding 25 pada 2002, 776 ditahan (692) dan 1,460 lagi diserang atau menerima ugutan (1,420).
Jumlah wartawan yang terbunuh ketika membuat liputan tahun lalu adalah yang tertinggi sejak 1995 apabila 49 orang terkorban ketika bertugas dengan 22 daripadanya di Algeria. Pada 2001, 31 wartawan maut dalam tugas, 32 orang pada tahun sebelumnya dan 36 pada 1999.
Daripada 42 wartawan yang terbunuh tahun lalu, 14 daripadanya terkorban ketika pencerobohan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq, tujuh wartawan maut di Filipina, empat di Colombia dan tiga di India.
Selain itu, masing-masing dua kes di Brazil, Cote d'Ivoire, Nepal, Palestin dan Indonesia. Di Indonesia, hanya dua wartawan dianggap terbunuh ketika bertugas kerana kes Arie Wailan hanyalah kematian akibat kemalangan. Empat negara lain - Myanmar, Kemboja, Guatemala dan Iran masing-masing mencatatkan satu kematian wartawan.
Jumlah wartawan yang ditahan juga terus meningkat. Di Cuba, Fidel Castro memenjarakan 27 wartawan yang dianggap menentangnya. Di Myanmar, 17 orang terpaksa merengkuk dalam penjara kerana membantah junta tentera, manakala di Maghribi, dua wartawan dipenjara kerana menulis rencana yang tidak digemari pemerintahnya.
Ternyata Asia Barat menjadi kawasan konflik paling berbahaya kepada wartawan. Pencerobohan tentera Amerika dan sekutunya serta penentangan selepas tamatnya perang mengorbankan 14 wartawan, sekurang-kurangnya 15 lagi cedera dan enam hilang, termasuk dua wartawan yang berkhidmat untuk stesen televisyen ITN Britain.
Malah, tentera Amerika mungkin boleh dipersalahkan dalam kematian lima wartawan, termasuk wartawan stesen televisyen al-Jazeera, Tareq Ayoub, yang terbunuh apabila tentera Amerika mengebom pejabat stesen itu di Baghdad, manakala tiga wartawan maut apabila askar Amerika tersasar menembak hotel penginapan mereka.
Sebenarnya, kita menyanjung tinggi keberanian Ersa. Beliau bukan mahu menunjuk jaguh sebaliknya hanya menuruti naluri kewartawanannya untuk memberi liputan terbaik kepada penontonnya. Ersa tahu beliau tidak mungkin memperoleh perlindungan daripada siapa pun, kecuali Allah.
Dalam mencapai matlamatnya, Ersa mengorbankan segala-galanya. Bukan hanya keringat dan darah, malah nyawanya - sesuatu yang tidak ternilai bagi seorang manusia. Darah yang mengalir dari tubuhnya dan membasahi bumi adalah satu peringatan kepada kita bahawa kekerasan bukan harga mati untuk menyelesaikan masalah.

BH 8 Januari 2004

Sagarmatha

HARI ini, setengah abad lalu, dua lelaki mencapai klimaks dalam hidup mereka apabila berjaya menawan Sagarmatha. Mereka menikmati keindahan tubuhnya yang belum tercemar, sesuatu yang terlalu sukar dilakukan orang lain. Beribu-ribu manusia cuba menawannya, tetapi hanya sedikit yang berjaya, malah tidak kurang juga yang menemui ajal kerananya.
Kini, selepas 50 tahun ditawan, Sagarmatha masih tetap ayu, walaupun ada tanda ia sudah ternoda. Sagarmatha kali pertama ditemui George Everest pada 1841, tetapi Edmund Hillary dan Tenzing Norgay yang berjaya menyuntingnya pada 29 Mei 1953, jam 11.30 pagi. George Mallory yang pernah tiga kali cuba menawannya sebelum itu, gagal sampai ke puncak malah beliau sendiri maut di dada Sagarmatha ketika percubaan ketiga pada 1924.
Mayatnya hanya ditemui 75 tahun kemudian. Mallory dikenang kerana ungkapan kata-kata perangsang kenapa beliau mahu menawan Sagarmatha iaitu Because it is there. Itulah kelebihan Sagarmatha. Ia bukanlah seorang perawan atau wanita dari Himalaya, tetapi nama yang diberikan oleh orang Nepal kepada Everest, puncak tertinggi di dunia.
Di kalangan orang Tibet pula, gunung setinggi 8,850 meter (29,035 kaki) itu dikenali sebagai Chomolongma. Walau apa pun namanya, Everest adalah lambang kekuatan, kesungguhan, ketabahan dan kecekalan manusia. Tanpa semua itu, jangan kita mimpikan puncak Sagarmatha.
Sebenarnya, kita turut berbangga kerana daripada lebih 1,250 pendaki dari 69 negara yang berjaya menawan Sagarmatha sejak 1975, dua daripadanya adalah rakyat Malaysia iaitu M Magendran dan N Mohandass yang sampai ke puncak Everest pada 1997. Kini, Sagarmatha bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk diteroka. Setiap tahun beratus-ratus orang berbaris untuk menawannya, malah pada masa ini saja ada lebih 50 orang sedang melawan kesejukan dan badai salji untuk menuju puncaknya.
Malangnya, Sagarmatha kini tercemar. Kajian dijalankan sepasukan pendaki yang ditaja Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) mendapati beberapa kawasan glasier di puncak itu sudah mulai cair, mungkin disebabkan pemanasan global atau kesan daripada meningkatnya jumlah pendaki yang sampai ke situ. Selain itu, kolam kecil berhampiran Island Peak, tempat Hillary dan Norgay berkhemah satu ketika dulu, kini sudah melebar menjadi tasik. Apakah mungkin 50 tahun lagi, pendaki tidak dapat
lagi menghayati keindahan Everest kerana saljinya cair dan meninggalkan hanya bongkah batu granit hitam saja?
Bercakap mengenai kejayaan rakyat Malaysia, saya teringat cadangan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini supaya rakyat Malaysia tampil merentasi Antartika, benua paling sejuk di dunia dengan berjalan kaki bagi melakar satu lagi kejayaan negara.
Cadangan Perdana Menteri itu sepatutnya dilihat sebagai cabaran kepada generasi muda supaya membuktikan semangat waja mereka sejajar slogan Malaysia Boleh. Jika Magendran dan Mohandass berjaya menawan Everest, Datuk Azhar Mansor mampu belayar solo mengelilingi dunia dan Abdul Malik Mydin pula berjaya berenang merentasi Selat Melaka dari Kuala Perlis ke Jeti Kuah, Langkawi, tidak ada sebab anak muda kita tidak boleh merentasi Antartika. Mungkin Dr Mahathir memilih Antartika kerana beliau sendiri
pernah menyertai ekspedisi merentasi benua itu pada Februari tahun lalu, manakala seorang saintis negara, Prof Mashhor Mansor dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula, pernah menyertai rombongan 20 penyelidik Argentina dan beberapa negara lain menjalankan kajian saintifik selama sebulan di Antartika, pada Mac lalu.
Kita sudah buktikan bahawa kita mampu melakukannya. Apa yang perlu ada ialah kekuatan, semangat yang jitu dan cekal, kemahuan serta keberanian. Tidak ada sesuatu yang mustahil jika Allah menghendakinya kerana yang penting ialah usaha dan doa. Sebenarnya, kita patut berbangga kerana memiliki seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan sentiasa menyokong aktiviti mencabar serta menguji semangat juang generasi mudanya. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Dr Mahathir sendiri menggemari kegiatan
mencabar.
Selain Antartika, beliau juga pernah mengharungi Lembah Amazon di Brazil dan menemui kawasan hutan getah, tempat asalnya komoditi yang satu ketika dulu pernah memberi nikmat kepada rakyat Malaysia. Bayangkan bagaimana beliau memeluk pokok getah yang tumbuh di tengah hutan Amazon sebagai tanda kesyukuran nikmat yang diperoleh pekebun kecil hasil daripada pokok itu satu ketika dulu. Malah, Dr Mahathir juga sempat merentasi banjaran Andes serta melihat bagaimana kehidupan Gaucho, puak yang sanggup mati menentang penjajah Sepanyol suatu ketika dulu tetapi kini hidup terbiar
dalam kemelaratan akibat sikap kerajaan yang tidak memperdulikan nasib mereka.
Sememangnya, orang kita sudah menawan Sagarmatha, orang kita sudah mengharung badai di Lautan Pasifik serta Atlantik, orang kita sudah merenangi Selat Melaka dan orang kita juga sudah meneroka hutan Amazon. Kini tibalah masanya kita melihat bagaimana orang kita berjalan merentas padang salji di benua Antartika yang dingin. Itulah semangat kita.

BH 29 May 2003

Kubitschek

JIKA Juscelino Kubitschek masih hidup, umurnya kini sudah 100 tahun dan dia pastinya sedih kerana kota yang dibangunkan 40 tahun lalu tidak menjadi seperti yang diharapkan. Brasilia, ibu negara Brazil yang dibangun dalam bentuk sebuah pesawat dengan pusat pentadbiran terletak di sayap kiri dan kanan serta istana presiden di muncungnya, kini ibarat keris pusaka berkarat yang terpaksa disimpan hanya kerana ia milik keturunan.
Selama hampir seminggu saya cuba melihat keunikannya, tetapi sayang kerana yang dapat saya lihat hanya kecacatannya. Stesen bas kotor, peniaga jalanan, peminta sedekah, anak-anak yang mencari nafkah dengan menjual gula-gula ketika kenderaan berhenti di lampu merah dan bangunan yang tidak terjaga, mencacatkan ibu negara yang dirancang begitu rapi oleh Lucio Costa dan Oscar Niemeyer itu.
Mungkin saya tidak sepatutnya menilai Brasilia hanya selepas lima hari tinggal di situ, tetapi apa yang dilihat sudah cukup untuk membolehkan saya membuat kesimpulan bahawa Brasilia yang kini dihuni kira-kira dua juta nyawa, tidak ubah seperti Jakarta walaupun ia terletak jauh di Latin Amerika. Cuma bezanya Jakarta lebih padat berbanding Brasilia.
Semua ini bukan salah Kubitschek, Costa atau Niemeyer, tetapi warganya yang tidak tahu menilai keindahan Brasilia. Sikap pengotor, sambil lewa dan tidak menghargai harta awam menyebabkan ibu negara `Samba' itu tidak terjaga.
Persekitaran yang tidak menarik menyebabkan tidak ramai pelancong berkunjung ke sana, kecuali mereka yang mempunyai urusan dengan kerajaan kerana di sinilah letaknya semua pejabat kerajaan.
Brasilia adalah di antara kota yang dirancang khusus sebagai sebuah ibu negara. Ia seperti juga New York yang dijadikan sebagai ibu negara Amerika Syarikat pada 1800, Canberra yang dibina pada 1913 dan diisytiharkan sebagai ibu negara Australia pada 1927 atau Putrajaya yang dirancang sebagai pusat pentadbiran negara menggantikan Kuala Lumpur.
Ada beberapa persamaan antara Brasilia, Canberra dan Putrajaya. Ketiga-tiganya mempunyai tasik buatan manusia dengan Brasilia memiliki tasik yang paling besar. Ia juga mempunyai tiga jambatan merintangi tasik berkenaan, sama seperti yang boleh kita lihat jika berkunjung ke Canberra dan Putrajaya. Malah, jambatan ketiga di Brasilia yang unik menjadikannya satu lagi mercu tanda baru ibu negara itu.
Cuma hasil pengamatan saya mendapati, warga Brazil agak malas, gemarkan hiburan dan kurang sifat bertanggungjawab. Masalah kewangan pula menyebabkan pelbagai projek yang dirancang tidak dapat dilaksanakan.
Akibatnya, ibu negara berkenaan jadi seolah-olah terbiar. Ada juga bangunan pejabat yang sudah lama siap dan cantik, terbiar tanpa penghuni kerana tidak ramai orang yang ingin menyewa pejabat.
Satu lagi kekurangan Brasilia ialah sistem pengangkutan awamnya yang tidak teratur. Ini menyebabkan orang ramai lebih gemar memandu ke tempat kerja dan akibatnya, kesesakan sering berlaku tanpa mengira masa. Projek subway yang dirancang juga tergendala akibat masalah kewangan.
Bagaimanapun, Brasilia masih mempunyai beberapa kelebihan. Perancangan rapi dengan kawasan perindustrian ditempatkan jauh dari pusat bandar menyebabkan warga kota selamat dari ancaman pencemaran alam sekitar.
Selain itu, hanya industri kecil yang tidak menyebabkan pencemaran saja dibenarkan beroperasi dalam kawasan dibenarkan, membolehkan masalah pencemaran alam mudah dikawal.
Kedudukannya di tengah-tengah Brazil juga menyebabkan ia bebas daripada ancaman bencana alam seperti banjir dan gempa bumi. Ia juga memiliki kawasan hijau yang luas di kiri kanan bangunan dan jalan. Brasilia terletak kira-kira 870 kilometer dari Sao Paulo dan 931 km dari Rio de Janeiro, manakala Canberra kira-kira 240 km dari Sydney dan Washington pula 327 km dari New York.
Saya tidak bertujuan memburuk-burukkan Brasilia, sebaliknya apa yang saya harap ialah kita jadikan ia sebagai teladan supaya Putrajaya tidak menjadi Brasilia suatu hari nanti. Mungkin Putrajaya diilhamkan daripada gabungan Brasilia, Canberra dan New York, tetapi biarlah ia memiliki keistimewaannya sendiri dan jagalah ia supaya tidak menjadi seperti Brasilia.

BH 20 March 2003

Evita

"DON'T cry for me Argentina!" kata Madonna, tetapi rakyat negara Amerika Selatan itu terus menangis, malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini hampir setiap hari mereka turun ke jalan di Buenos Aires, mengadakan demonstrasi dengan membawa pelbagai sepanduk mengecam ahli politik dan kerajaan yang mereka dakwa gagal mengendalikan ekonomi negara itu.
Tindakan mereka memang bersebab. Satu daripada lima penduduk Argentina adalah penganggur, manakala keluaran dalam negara kasarnya jatuh 25 peratus sejak 1999. Ekonomi negara itu mengalami kejatuhan paling parah pada awal abad ke-21 selepas menikmati keajaiban ekonomi pada akhir abad lalu. Dalam tempoh empat tahun, Argentina menjadi negara miskin yang terpaksa mengharap belas ihsan orang lain.
Lima tahun lalu, saya pernah berkunjung ke Buenos Aires. Kota itu cukup menarik dan merangsang. Selain steak lembunya yang dikatakan terbaik di dunia, ia juga memiliki kelab-kelab tango yang sentiasa penuh dengan manusia. Orang Argentina juga terkenal dengan gaya mereka - lelakinya sentiasa kemas berkot dan tali leher seperti Che yang dilakonkan Antonio Banderas dalam filem Evita, manakala wanitanya pula seperti Eva Peron lakonan Madonna yang anggun dengan gaun atau skirt pendek yang boleh
menyebabkan degupan jantung semakin cepat.
Ketika itu, nilai peso Argentina sama dengan dolar Amerika. Deretan kedai di Florida 1000 - kawasan beli-belah terkenal di Buenos Aires - penuh dengan pelancong yang sebahagian besarnya, termasuk saya, hanya mampu melihat-lihat kerana tidak berdaya membeli disebabkan harga yang mahal.
Kini, 100 peso hanya bernilai AS$25 (RM95). Banyak bank yang secara teknikalnya sudah muflis. Kerajaan gagal membayar hutang, termasuk faedah berjumlah AS$27 juta (RM102.6 juta) daripada bon Samurai yang dikeluarkan oleh Jepun. Malah, ada wilayah tertentu di negara itu yang mencetak wang mereka sendiri. Harga barang naik mendadak dan inflasi sudah tidak dapat dibendung lagi.
Jalan rayanya yang luas dan dulunya penuh dengan kereta mewah, kini sebaliknya dipenuhi penunjuk perasaan seperti yang saya lihat di saluran BBC semalam apabila lebih 10,000 orang turun ke jalan menyertai demonstrasi besar-besaran menentang kerajaan yang dulunya kuasa ekonomi ketiga terbesar di Amerika Selatan.
Apa yang paling menyedihkan, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Kerajaan Amerika Syarikat yang dulunya sibuk campur tangan, kini sebaliknya `basuh tangan' dan membiarkan saja kerajaan pimpinan Presiden Eduardo Duhalde - presiden kelima dalam tempoh enam bulan - menyelesaikan sendiri masalah ekonomi negaranya.
IMF menghentikan bantuan berbilion dolar pada Disember lalu ketika krisis ekonomi Argentina sedang memuncak yang mana jawatan Presiden dua kali bertukar tangan dalam tempoh dua minggu. Ia meletakkan pelbagai syarat bertujuan mengikat negara itu, jika mahu bantuan diteruskan.
Rakyatnya menolak IMF, tetapi kerajaan negara itu hingga kini masih meneruskan rundingan. Kini pasukan perunding IMF masih berada di Buenos Aires, cuba meyakinkan kerajaan negara itu supaya mengambil langkah tegas terhadap sistem kewangannya. Bagaimanapun, rakyat Argentina tidak mahu negara mereka menjadi seperti Mexico atau Indonesia yang terus terikat dan duduk di bawah telunjuk IMF.
Kenapa ekonomi Argentina merudum begitu teruk? Walaupun ramai yang menyalahkan penilaian mata wang peso yang terlalu tinggi dan kurangnya disiplin fiskal sebelum ini, sebab utama masalah itu sebenarnya ialah hilangnya keyakinan terhadap ekonomi Argentina yang berpunca daripada kejatuhan ekonomi di beberapa negara lain, termasuk jirannya, Brazil.
Kini tiada siapa yang dapat memberi penuh kepercayaan kepada institusi ekonomi negara itu kerana ia mempunyai sejarah hitam yang panjang bagi pelabur asing. Tindakan kerajaannya yang sering menukar dasar dan mencetak wang untuk membayar bil menakutkan pelabur asing, malah mereka berpendapat Kerajaan Argentina sukar untuk dipercayai.
Antara cara untuk mengembalikan keyakinan pelabur ialah memperkemaskan dasar fiskalnya. Seperti kata seorang pakar ekonomi negara itu, Argentina perlu mengimport keseluruhan sistem kewangan, perbankan dan sistem simpanan yang tertakluk kepada pengawasan terbaik dunia.
Mungkin juga Argentina boleh belajar dari Malaysia bagaimana mengatasi masalah ekonominya berdasarkan pengalaman kita sebelum ini. Bukanlah susah untuk ke Malaysia kerana sehingga hari ini pun, Penerbangan Malaysia (MAS) masih mengendalikan penerbangan ke Buenos Aires.

BH 22 Julai 2002

Friday, April 17, 2009

Wartawan

Ramaikah wartawan di Malaysia yang disumbat ke penjara atau berapa banyak "akhbar yang diarah tutup oleh kerajaan? Jika dilihat kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar terbaru yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF), mungkin ada yang akan mengemukakan soalan berkenaan.
Kumpulan pengawas media berpejabat di Paris itu meletakkan Malaysia di tangga ke-113 daripada 167 negara. Jika dibandingkan tahun lalu, kedudukan kita meningkat sembilan anak tangga. Malah, di kalangan negara Asean, hanya Timor Leste (58), Kemboja (90) Indonesia (102) dan Thailand(107) yang berada di depan kita.
Filipina berada di tangga ke-139, manakala Singapura (140), Laos (155), Vietnam (158) dan Mynmar (163). Kuasa besar yang mengaku jaguh demokrasi, Amerika Syarikat, hanya di tempat ke-44, manakala United Kingdom (24) dan Perancis (30). Tempat teratas senarai berkenaan kekal dikuasai Denmark, Finland, Ireland, Iceland, Norway dan Holland, manakala empat negara tercorot pula ialah Korea Utara (167), Eritrea (166), Turkmenistan (165) dan Iran (164).
Melihat corak laporan media di Indonesia dan Filipina, kita sebenarnya bingung kenapa kedua-dua negara itu tidak termasuk sekurang-kurangnya dalam 100 terbaik. Apakah makna kebebasan bagi mereka yang membuat pilihan jika apa yang diamalkan di kedua-dua negara itu masih belum dianggap bebas?
Singapura pula ternyata tidak bimbang dengan kedudukannya dalam indeks berkenaan kerana seperti kata Menteri Kanannya, Goh Chok Tong, kelmarin, akhbar yang lebih bebas tidak menjamin sebuah kerajaan yang bersih dan cekap.
Beliau berkata, jika dilihat dari segi kemakmuran ekonomi, Singapura jauh di depan berbanding banyak negara yang mempunyai kedudukan kebebasan akhbar yang lebih baik jadi mereka tidak harus berasa malu walaupun kedudukannya agak ke bawah. Malah, katanya, Transparency International meletakkan Singapura pada kedudukan antara yang terbaik di dunia dari segi kecekapan dan kebebasan ekonomi iaitu kelima paling kurang amalan rasuah daripada 158 negara.
Malaysia juga tidak sepatutnya bimbang dengan kedudukannya. Walau apa pun pendapat mereka, wartawan di negara ini masih mampu menjalankan tugas dengan berkesan. Malah pada masa ini tiada wartawan yang ditahan, termasuk pengendali blog yang ada kalanya bertindak melampau. Apa pun, indeks kebebasan akhbar itu hanya satu ukuran subjektif yang dirumuskan melalui pandangan golongan liberal barat. Mereka ini sering berhujah kebebasan akhbar adalah ramuan perlu dalam demokrasi dan jaminan kepada kemakmuran negara.
Hakikatnya, akhbar yang bebas berdasarkan standard barat tidak selalunya mengarah kepada sebuah kerajaan yang bersih dan cekap atau menyumbang kepada kebebasan ekonomi dan kemakmuran. Apakah Benin dan Namibia yang menduduki ranking ke-25 lebih makmur daripada kita atau Congo (71) dan Liberia (83) lebih aman daripada kita?
Sebenarnya, tidak wujud langsung apa yang disebut kebebasan akhbar,malah banyak negara yang mengaku jaguh demokrasi serta mereka yang berfikiran begitu liberal sekalipun mengakui perlunya satu bentuk pengawasan atau tata etika bagi memastikan laporan media yang bertanggungjawab. Selamat Hari Raya serta maaf zahir dan batin.

Khianat

MINGGU lalu, Fox News melaporkan dua rakyat Israel ditahan di Washington selepas polis menemui bahan letupan dalam kereta mereka dan selang beberapa hari kemudian, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pula mengakui bahawa 19 lelaki Islam yang dituduh terbabit merampas pesawat dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Washington dan Pentagon di New York pada 11 September tahun lalu, bukanlah mereka yang sebenarnya bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.Saya tertarik dengan kedua-dua laporan ini kerana ia tidak mendapat liputan sewajarnya dalam media Amerika Syarikat. Kecuali Fox News, tidak ada satu pun akhbar yang menyiarkan berita penahanan pengganas Israel itu manakala pengakuan FBI pula hanya disiarkan dalam ruangan kecil beberapa akhbar, seolah-olah mereka cuba menyembunyikannya.Dalam laporan yang dipetik oleh agensi berita Russia, Pravda, kedua-dua pengganas berkenaan ditahan berhampiran pangkalan Tentera Laut Amerika di Oak Narbor bersama sejumlah bahan letupan TNT dan RDX. Kes itu kini dalam siasatan FBI, polis dan pihak Imigresen kerana ia turut membabitkan dakwaan tinggal di Amerika melebihi tempoh ditetapkan.Sebenarnya, ini bukan kes pertama pengganas Israel ditahan di Amerika. Pada Disember 2001, Fox News juga melaporkan 60 rakyat Israel ditahan kerana disyaki menjadi pengintip dan menyalurkan maklumat ketenteraan Amerika kepada tentera Israel, selain menyembunyikan maklumat berhubung serangan 11 September.Sebelum itu, 140 rakyat Israel turut ditahan kerana disyaki mengintip dan merancang tindakan keganasan, termasuk pengerusi sebuah pertubuhan militan Yahudi, Judaic League of Defence, Irv Rubin dan seorang anggotanya, Earl Kruger, yang didakwa merancang pengeboman Masjid Raja Fadh di Los Angeles dan pejabat Ahli Kongres Republikan keturunan Arab mewakili California, Darrell Issa.Berdasarkan maklumat ini, ternyata Amerika sebenarnya bukan berhadapan dengan apa yang didakwanya pengganas Islam, sebaliknya pengganas Yahudi yang begitu licik. Kita tidak boleh menolak kemungkinan serangan 11 September juga mungkin angkara pengganas Yahudi ini yang menyerap secara halus dalam gerakan militan Islam.Bagaimanapun, kita jangan mudah terpedaya dengan helah Amerika dan Israel kerana penahanan ini juga mungkin sekadar lakonan bagi mengabui mata dunia selain mengimbangi tindakan yang dilakukan mereka terhadap kumpulan pejuang Islam.Sejarah sudah membuktikan rejim Yahudi sanggup berbuat apa saja untuk mempengaruhi pendapat umum bahawa pejuang Islam jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan, sekali gus bersimpati dengan perjuangan mereka. Malah, mereka sanggup mengkhianati Amerika yang menjadi penyokong kuatnya, walaupun terpaksa mengorbankan banyak nyawa tidak berdosa.Buktinya pada 1954, kerajaan Yahudi melancarkan operasi keganasan secara rahsia terhadap Amerika yang dikenali Operasi Suzannah. Ia bertujuan membunuh ramai rakyat Amerika dengan meletupkan bangunan milik Amerika di Kaherah dan meninggalkan bukti-bukti palsu menunjukkan tindakan itu dilakukan rakyat Mesir. Ini bagi menimbulkan kemarahan Amerika hingga mengisytiharkan perang terhadap Mesir, yang ketika itu menjadi musuh utama Israel.Ejen-ejen Yahudi berjaya meletupkan beberapa pejabat pos dan perpustakaan Amerika di Kaherah serta Iskandariah. Bagaimanapun, dalam perjalanan untuk meletakkan bom di Panggung Metro-Goldwyn-Mayer, bom itu meletup lebih awal dan beberapa ejen Israel ditahan, sekali gus menggagalkan operasi berkenaan. Terselamatlah hubungan baik Mesir dan Amerika.Penahanan ejen berkenaan menyebabkan tembelang Israel pecah dan memalukan Perdana Menterinya ketika itu, David Ben-Gurion. Pemimpin Amerika terkejut dan mendesak tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab. Akhirnya, Ben-Gurian terpaksa memecat Menteri Pertahanannya, Pinhas Lavon. Seluruh episod itu dikenali sebagai Lavon Affair. Pada 8 Jun 1967, ketika Israel sedang berdepan dengan Perang Enam Hari, sekali lagi rejim Yahudi merancang pengkhianatan terhadap Amerika. Kali ini, dengan menggunakan pesawat pejuang tidak bertanda dan bot torpedo, mereka menyerang kapal Tentera Laut Amerika, USS Liberty, mengorbankan 34 orang dan mencederakan 171 yang lain. Malah, bot penyelamat juga mereka tembak bagi memastikan tiada saksi yang selamat.Bagaimanapun, kapal itu berjaya diselamatkan dari tenggelam dan kaptennya dapat menghubungi markas untuk memaklumkan mereka diserang oleh Israel, bukan Mesir. Sekali lagi Israel berdalih, mendakwa mereka tersilap sasaran kerana menyangka USS Liberty adalah kapal Mesir. Amerika menerima dalih itu dan berdiam diri.Seperti juga kes Operasi Suzannah, media Amerika yang dikuasai oleh Yahudi bukan saja tidak membesar-besarkan kes itu malah menerima dalih Israel dengan mudah. Ini menyebabkan rakyat Amerika ramai yang tidak mengetahui peristiwa sebenarnya yang berlaku. Tindak balas Amerika terhadap Israel juga jelas bertentangan jika dibandingkan dengan beberapa kes lain seperti penahanan USS Pueblo oleh Korea Utara pada 1968 dan contoh yang lebih klasik ialah serangan Jepun di Pearl Harbour pada 1941. Dalam kedua-dua kes itu, Amerika bertindak balas begitu cepat, menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki yang mengorbankan beribu-ribu nyawa, manakala Kongres pula mengarahkan diadakan siasatan segera dan mencela Korea Utara atas tindakannya itu.Berdasarkan kes-kes berkenaan dan pengakuan FBI bahawa 19 warga Arab itu tidak bertanggungjawab dalam serangan 11 September, apakah tidak wajar jika kita katakan serangan itu dilakukan oleh ejen-ejen Israel sendiri dan meletakkan bukti-bukti bagi mengaitkannya dengan al-Qaeda. Jika benar sangkaan kita, Amerika nampaknya terpaksa menanggung malu besar dan patut dicela kerana kekejaman yang dilakukannya di Afghanistan, membunuh beribu-ribu orang awam dan memusnahkan sebuah negara miskin yang tertindas, selain menimbulkan kecurigaan terhadap umat Islam.

Jawa

USTAZAH Neneng belum pasti siapa yang akan dipilih pada pilihan raya presiden 5 Julai ini, tetapi lawatannya bersama lebih 60 anggota kumpulan pengajian agamanya ke Malaysia dan Singapura akhir minggu lalu dibiayai seorang daripada calon presiden yang bertanding. Malah, pada masa sama calon berkenaan turut membiayai satu lagi rombongan yang melawat Beijing dan Shanghai.
Ternyata, Indonesia juga tidak terlepas daripada politik wang, malah mungkin lebih hebat daripada kita. Sebelum ini, kita hanya dengar pemimpin politik kita membiayai rombongan penyokongnya ke Medan, Bandung dan Jakarta menjelang pemilihan bahagian, tetapi kini semakin dekat pilihan raya presiden, semakin banyak rombongan dari Indonesia melawat Malaysia dan lawatan mereka itu dibiayai calon tertentu.
Apa pun, 12 hari lagi rakyat Indonesia akan menempa sejarah kerana untuk pertama kalinya mereka berpeluang memilih sendiri presiden dan naib presiden, sesuatu yang baru dalam politik Indonesia. Jika lima presiden sebelum ini dipilih oleh wakil mereka di Majlis Pemusyawaratan Rakyat, kini mereka mengundi sendiri siapa yang akan memimpin Indonesia untuk tempoh lima tahun akan datang. Ketika ini, calon presiden dan naib presiden juga sedang sibuk berkempen. Setiap calon presiden bersama regu masing-masing.
Lima pasangan akan bertarung merebut kerusi presiden dan naib presiden. Mereka ialah Megawati Soekarnoputri yang bergandingan dengan Hasyim Muzadi, Susilo Bambang Yudhoyono-Jusuf Kalla, Wiranto-Salahuddin Wahid, Hamzah Haz-Agum Gumelar dan Amien Rais-Siswono Yudohusodo. Kempen kali ini juga menarik.
Calon yang bertanding menggunakan semua media untuk menarik sokongan rakyat, termasuk iklan di akhbar, televisyen dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Bagaimanapun, ada pihak tertentu yang menyalahgunakan kemudahan berkenaan untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah. Maka timbullah fitnah seperti Susilo bukan seorang Islam tetapi Kristian, manakala Parti Demokrat pimpinannya dipengaruhi oleh orang Kristian. Ada pula yang mendakwa Amien didokong oleh Amerika Syarikat, selain serangan terhadap Megawati melalui fatwa bahawa haram bagi orang Islam memilih wanita sebagai pemimpin.
Bagaimanapun, yang paling menarik ialah isu Jawa dan bukan Jawa serta keserasian regu yang bertanding. Sememangnya, kecuali B J Habibie yang bukan orang Jawa, empat lagi Presiden Indonesia iaitu Sukarno, Suharto, Abdurahman 'Gus Dur' Wahid dan Megawati adalah orang Jawa. Kali ini, di kalangan lima calon presiden, hanya seorang iaitu Hamzah bukan orang Jawa. Hamzah berasal dari Kalimantan Barat, Oleh itu, jika beliau menang bermakna Indonesia untuk kali kedua akan mempunyai presiden bukan orang Jawa. Sebelum ini, Habibie yang dilahirkan di Sulawesi Selatan dipilih sebagai Presiden Indonesia ketiga.
Bagaimanapun, di kalangan lima calon naib presiden pula, tiga daripadanya bukan dari Pulau Jawa. Hasyim dilahirkan di Nusa Tenggara Barat, Jusof lahir di Sulawesi, manakala Siswono kelahiran Kalimantan Timur.
Sebenarnya, soal Jawa atau bukan Jawa hanya timbul disebabkan corak pemerintahan pemimpin terdahulu yang terlalu berorientasi Jawa. Selama 32 tahun di bawah Suharto, segala-galanya berkiblatkan Jawa - dari politik, ekonomi, sosial, budaya, pendidikan hingga kepada program pembangunan, semuanya tertumpu di Jawa. Pulau Jawa adalah segala-galanya sedangkan daerah di luar Jawa terus terpinggir dan terkebelakang.
Geopolitik yang tidak adil ini menyebabkan munculnya jurang antara Jawa dan luar Jawa. Orang Jawa mengaut kekayaan yang tersebar luas di luar Pulau Jawa dan mengalirkannya ke Jawa. Akibatnya, orang bukan Jawa memberontak dan membangkitkan sentimen anti-Jawa.
Sebenarnya, persoalan ketidakadilan tidak ada hubungannya dengan Jawa dan luar Jawa. Ia adalah produk, watak dan kecenderungan kuasa yang tamak dan rasuah. Mereka membolot kekayaan tanpa memikirkan nasib orang lain.
Mengenai keserasian regu yang bertanding, kelima-lima pasangan mendakwa mempunyai kelebihan. Gandingan Megawati-Hasyim mengaku sebagai kombinasi abangan dan santri (Abangan merujuk kelompok yang mengaku Islam tetapi lebih menekankan adat serta tradisi yang bersifat mistik, manakala santri adalah golongan yang taat kepada agama Islam dan sering dikaitkan dengan pendidikan agama dan pondok). Pasangan Susilo-Jusuf pula mendakwa mewakili Jawa dan luar Jawa, Wiranto-Salahuddin menganggap mereka sebagai paduan tentera-awam, Amien-Siswono mewakili kelompok nasionalis-agama dan terakhir gandingan Hamzah-Agum sebagai pasangan agama-tentera.
Bagaimanapun, semua pasangan berkenaan masih tidak begitu mantap jika dibandingkan gandingan Sukarno-Hatta. Pasangan presiden dan naib presiden pertama itu dianggap yang terbaik sepanjang sejarah Indonesia. Ia adalah kombinasi padu yang menjadi idaman rakyat republik itu. Sukarno orang Jawa, Hatta dari luar Jawa. Sukarno nasionalis dan Hatta orang agama. Semoga rakyat Indonesia dapat memilih pemimpin yang terbaik bagi mereka.

Punggok

MEREKA ibarat burung pungguk yang hinggap di dahan pokok pada malam hening dan memandang ke langit, melihat bulan yang indah, tetapi terlalu jauh untuk dicapai. Orang tua kita dulu menggunakan adegan burung pungguk itu untuk melukiskan sebuah hasrat yang sia-sia dan harapan yang terlalu tinggi – bagai pungguk rindukan bulan.Dalam keheningan malam itu juga, kita seakan-akan mendengar suara yang serak, suram, sedih, seperti suara cinta hampa diva jazz Billie Holiday yang menyebut bait-bait lagu I’am a fool to want you. Suara itu semakin lama semakin kuat, sekuat gelombang yang menghempas pantai di Terengganu dan Kelantan pada musim tengkujuh.Siapakah mereka yang seperti burung pungguk dan yang menyanyikan lagu Billie Holiday? Mereka adalah penyokong Pas dan pengundi atas pagar yang pada pilihan raya umum lalu memberi undi kepada parti Pas sehingga Kelantan kekal di bawah pengaruhnya dan Terengganu jatuh ke tangan parti itu.Tetapi, burung pungguk nampaknya belum terjaga daripada khayalan, tidak seperti pemilik suara serak yang kini sudah sedar daripada lenanya dan menyesali kesilapan masa lalu. Burung pungguk terus terbang untuk mencapai bulan, walaupun tahu ia tidak mampu menjangkau apa yang diharapkan. Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Shah Alam kelmarin: “Bulan tak boleh buat apa-apa pun... seperti pungguk rindukan bulan, terus rindukan bulan aje...” Mungkin pungguk masih belum terlewat kerana masih ada masa untuk mengejutkannya daripada khayalan.Minggu lalu, dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu, saya dapat melihat betapa ghairahnya orang Terengganu menghadapi pilihan raya kali ini. Hampir setiap jambatan dan bulatan dipenuhi bendera Pas, walaupun di celah-celahnya terselit poster berlambangkan dacing.Sepanduk yang dipasang sama ada oleh penyokong Pas atau Barisan Nasional penuh dengan kata-kata sindiran. Bagi mereka yang tidak biasa dengan orang Terengganu dan politik negeri itu, agak sukar untuk mereka memahami kata-kata dalam loghat Terengganu digunakan.Dengan slogan ‘Terengganu Kite Hok Kite’, Pas nampaknya begitu yakin dapat mempertahankan negeri itu dan ini dibuktikan oleh kata-kata seorang pengikut setianya yang bersama saya dalam pesawat menuju Kuala Terengganu, Jumaat lalu.“Bukan jambatan dan bulatan saja yang bertukar warna menjadi hijau sejak minggu lalu, malah air laut yang dulunya biru juga sudah bertukar hijau sebagai tanda Pas akan terus kekal di Terengganu,” katanya dengan penuh takbur.Tetapi ‘Gelombang Biru’ BN yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Idris Jusoh, mungkin dapat membuat kejutan. Bukan sesuatu yang mustahil jika air laut yang dikatakan hijau akan kembali biru, sebiru bulatan di Pesiaran Kayangan Shah Alam yang diselubungi bendera berlambangkan dacing.Mungkin benar kata orang, pilihan raya ada masanya ibarat banjir besar yang boleh mengubah arus sungai dan pada masa sama rakyat terpaksa memikul satu tugas amat penting iaitu memilih yang terbaik bagi suatu kehidupan bersama.Apa pun, politik kini sudah menjadi sesuatu yang membingungkan. Pas umpamanya menggunakan agama untuk kepentingan politik dan sanggup mengeluarkan pelbagai fatwa yang ada kalanya bercanggah dengan Islam, semata-mata untuk meraih sokongan.Malah, ahli Pas sendiri tahu bahawa pemimpin mereka sering melatah. Mereka melakukan pelbagai kesilapan dalam keadaan sedar. Akibatnya politik bagi mereka sudah menjadi seperti seks, ramai-ramai dianggap kotor, tetapi ramai-ramai pula mereka melakukannya.Sebenarnya, politik boleh didefinasikan sebagai suatu kesibukan menguruskan kekuasaan dalam satu persaingan sengit. Dalam persaingan itu, pemenangnya bukan saja akan mendapat kuasa dan penghormatan, malah pelbagai kelebihan yang sukar dinikmati orang biasa.Oleh kerana itulah, ramai yang sanggup melakukan apa saja asalkan mereka tidak terkeluar daripada arena politik.Semoga kita tidak tenggelam dalam kekalutan politik dan mampu berfikir dengan waras sebelum memutuskan pilihan Ahad ini.

Mawi

NAMA Mawi tiba-tiba begitu popular bukan saja di kalangan remaja, malah kanak-kanak yang baru pandai membaca. Sejak beberapa minggu lalu, demam Mawi merebak dengan pantas mengalahkan wabak selesema burung di Vietnam.Bukan hanya Mawi, malah banyak lagi nama yang menjadi sebutan seperti Felix, Marsha, Yazer, Fahmi, Alynn, Ieya, Adlin dan Najib. Mereka adalah di antara peserta beberapa program TV realiti yang semakin banyak disiarkan stesen televisyen tempatan sejak kebelakangan ini. Mereka menjadi idola dan pujaan, malah ramai sanggup menghabiskan wang untuk menghantar SMS menyokong peserta pilihan masing-masing. Tidak kurang juga yang menangis dan meraung apabila idola pujaannya tersingkir pada akhir program.Bukan setakat itu, mereka ini berpindah ke ruang chat SMS yang disediakan stesen TV tertentu untuk sekali lagi menghabiskan wang dan masa mengkritik serta mengutuk, sama ada terhadap peserta, guru, pengkritik atau antara satu sama lain.Sebenarnya, kita hairan dengan perubahan dalam masyarakat kita, terutama di kalangan generasi muda akhir-akhir ini. Begitu ramai yang tergila-gila untuk menyertai program TV realiti ini sehingga ada di antaranya sampai menangis, marah, malah memaki hamun apabila tidak terpilih.Lebih mengaibkan, ada juga calon yang tidak serik-serik mencuba nasib walaupun menyedari mereka tidak layak menyertai program berkenaan. Kita tidak tahu niat mereka sama ada mahu mengasah bakat atau sekadar mencari glamor.Sering juga kita lihat bagaimana panel pemilih, guru serta pengkritik bertindak sesuka hati memalukan calon atau peserta program realiti di depan khalayak, seolah-olah tiada lagi budi bahasa dan kesopanan di kalangan masyarakat kita.Begitu mudahnya untuk menjadi idola sekarang. Jika dulu artis dan seniman kita terpaksa berhempas pulas selama bertahun-tahun untuk menjadi terkenal dan dipuja, kini mereka hanya memerlukan masa empat atau lima minggu untuk menjadi popular.Mungkin kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana itulah hakikatnya. Budaya ini terpaksa kita terima seiring penerimaan kita terhadap program TV realiti yang berasal dari negara barat ini. Kita telan segala-galanya seolah-olah kita tidak ada lidah untuk merasa.Di sebalik semua ini, satu perkara positif hasil daripada adanya program realiti ini ialah hubungan kekeluargaan semakin rapat apabila seisi keluarga, kadang-kadang termasuk ayah, ibu, datuk dan nenek, berkumpul di depan TV menonton siaran langsung program berkenaan.

Thursday, June 29, 2006

Kebenaran

BOB Lee bukan beragama Kristian dan tidak juga pernganut Buddha. Seperti 46 peratus daripada lebih 48 juta rakyat Korea Selatan lain, dia tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana agama. Bagaimanapun, dia cukup faham kehendak pelancong Islam yang mengunjungi negaranya – tahu bila masuk waktu Zohor dan Asar serta solat jamak – malah dia akan memberikan waktu secukupnya jika ingin ke masjid menunaikan solat.
Walaupun penduduk Islam di Korea Selatan adalah golongan minoriti dan terlalu kecil jumlahnya, Bob yang bertugas sebagai pemandu pelancong berusaha mendalami agama Islam supaya mudah baginya mengendalikan pelancong Islam, terutama dari Malaysia. Inilah kelebihan Bob, sekali gus mempamerkan imej baik rakyat Korea Selatan.
Walaupun hanya 26 peratus rakyat Korea Selatan beragama Kristian, suasana menyambut Krismas memang dapat dirasakan walaupun tidak semeriah di Malaysia. Mungkin soal beragama tidak begitu penting bagi sebahagian besar rakyat Korea Selatan, tetapi mereka rata-rata menghormati pegangan agama orang lain dan tidak menolak kewujudan agama.
Keadaan ini agak berbeza dengan apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) akhir-akhir ini apabila munculnya golongan atheis yang melancarkan perang dingin terhadap kelompok konservatif Kristian. Menjelang Krismas baru-baru ini, golongan athies berkenaan berusaha menghapuskan ciri-ciri Jesus Christ dalam Krismas.
Lebih menarik, lobi golongan atheis ini hampir berjaya apabila beberapa rangkaian pasar raya besar seperti Walmart, Target dan Macy menggugurkan istilah Christmas dalam promosi mereka, tetapi setelah diancam boikot oleh pengguna yang dipengaruhi kelompok konservatif, akhirnya pasar raya berkenaan terpaksa tunduk juga.
Mungkin kali ini kelompok konservatif Kristian berjaya mempertahankan agamanya, tetapi golongan atheis ini tidak akan berhenti daripada menyerang mereka. Ternyata, kepesatan pembangunan, modenisasi dan globalisasi yang tidak seimbang dengan pembangunan rohaniah semakin mengancam kerukunan hidup masyarakat di Barat.
Hakikatnya, situasi dunia sekarang memang genting. Gelombang anti-agama semakin berkembang di Barat, manakala di Timur, kita dilanda gelombang fanatik yang menggunakan agama untuk kepentingan tertentu. Mereka menyalahtafsirkan jihad sehingga menjejaskan imej agama itu sendiri.
Apa pun, dunia sedang menghadapi perang peradaban bukan hanya antara tiga rumpun agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi, tetapi juga skizofrenia, pewaris demokrasi liberal Barat dan tradisi Judeo-Kristian Eropah yang mengingkari kebenaran dan tidak yakin terhadap sistem nilai hidup mereka sendiri.
Golongan atheis ingin menguburkan warisan itu dan menggantikannya dengan ideologi Tranzi. Oleh itu, tidak hairanlah jika dalam satu masa nanti agama akan menjadi satu perkara yang ganjil di negara Barat, manakala penduduknya sudah hilang rasa kemanusiaan dan hidup tanpa moral. Ideologi Tranzi yang menguasai dunia dan orang seperti Elton John yang berkahwin sama sejenis akan mendapat tempat lebih tinggi daripada ulama.
Mungkinkah satu hari nanti tidak ada lagi Aidilfitri (Islam), Krismas (Kristian), Wesak (Buddha) Deepavali (Hindu), Hanukah (Yahudi) dan lain-lain perayaan agama hanya kerana umat di dunia sudah tidak lagi bergama? Nauzubillah, anggaplah ini hanya sebagai mimpi ngeri.

Azan

SEANDAINYA laungan azan dianggap menjatuhkan imej Islam dan mengganggu penduduk sekitar daripada tidur yang nyenyak, malang sungguh nampaknya nasib umat Islam di negara ini. Rupanya, masih ada di kalangan masyarakat majmuk kita yang tidak memahami makna tolerasi walaupun sudah 48 tahun mengecapi nikmat kemerdekaan.
Kita sedih kerana isu agama yang dianggap sensitif ini masih terus dibangkitkan selepas tahun lalu kita dikejutkan dengan pandangan yang disiar dalam buletin rasmi Majlis Peguam, Infoline, mendakwa laungan azan sama ada di surau, madrasah atau masjid sebagai ‘pencemaran bunyi dan mengganggu jiran’..
Malah, kita begitu tersentuh apabila rencana itu membuat perbandingan laungan azan dengan salakan anjing. Mujurlah umat Islam di negara ini lebih rasional dan tidak mudah melatah. Jika ia berlaku di Indonesia, kita tidak pasti nasib penulis rencana berkenaan, sama ada masih sempat melihat matahari esok atau tidak.
Sebagai penduduk sebuah negara pelbagai kaum dan agama, perkara ini tidak sepatutnya timbul kerana kita perlu saling menghormati antara satu sama lain, di samping menerima serta bertolak ansur dalam soal adat, budaya serta agama setiap kaum. Prinsip inilah yang kita pegang dan sanjung selama ini sehingga kita dapat hidup dengan aman dan harmoni.
Hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam dan Islam menjadi agama rasminya seperti termaktub dalam Perlembagaan sudah lama diterima rakyat pelbagai kaum di negara ini. Bagaimanapun, Perlembagaan juga secara jelas menegaskan penganut agama lain bebas menjalankan kegiatan atau upacara mengikut kepercayaan dan adat masing-masing.
Anehnya, tidak pernah pula kita dengar orang Islam di negara ini membantah bunyi loceng gereja dan kuil kerana mengganggu tidur atau ketenteraman hidup mereka , begitu juga bau colok di tokong Cina menyebabkan pencemaran bau sehingga mereka tidak lalu makan. Kita sedar isu itu sensitif dan tidak sewajarnya dibincangkan secara terbuka.
Walaupun majoriti rakyat negara ini adalah orang Melayu beragama Islam, jarang sekali isu membabitkan agama lain disentuh. Ini jelas menunjukkan betapa umat Islam begitu bertolak ansur dan tidak mudah bertindak yang boleh menimbulkan kemarahan penganut agama lain.
Nampaknya, masih ada penduduk bukan Islam, termasuk di kalangan pemimpin yang kurang pengetahuan mengenai Islam. Oleh itu, kita berharap pihak berkuasa agama dapat melakukan sesuatu untuk memberi kefahaman yang jelas mengenai Islam. Dengan ini, kita sekurang-kurangnya dapat mengelak wujudnya salah faham mengenai Islam.
Apa pun, perkara pokok dalam isu ini ialah kita sebenarnya semakin tidak memahami prinsip Rukun Negara, menyebabkan kita tidak mengamalkan prinsipnya. Dalam hal ini, mungkin kita boleh mencontohi bagaimana rakyat Indonesia menghayati Pancasila, lima prinsip yang berjaya menyatukan rakyatnya satu masa dulu. Tidak hairanlah jika setiap 1 Oktober sejak 40 tahun lalu, rakyat negara jiran itu tidak terlepas daripada meraikan Hari Kesaktian Pancasila.

Elektrik

BAYANGKAN sebuah kota terputus bekalan elektriknya. Suasana jadi kecoh, lampu isyarat tiba-tiba padam, persimpangan sesak, bunyi hon kenderaan membingitkan, pejabat kerajaan, bank, kedai, pasar raya, restoran, pusat karaoke, malah rumah urut terpaksa ditutup. Lebih parah lagi kilang dan industri terpaksa menghentikan operasi, menyebabkan pengusaha dan pelabur mengadu kerugian. Di rumah, bahang kehangatan membara apabila kipas berhenti berputar dan pendingin hawa tidak berfungsi, sekali gus menggangu keselesaan kita.Belum dikira lagi peluh yang menitik menyebabkan kita mula mencari kipas tangan. Lalu semua pun mula melatah, mencemuh syarikat pembekal tenaga yang didakwa gagal menyediakan khidmat terbaik kepada pengguna. Begitulah susahnya kita tanpa elektrik walaupun ada di antara kita satu masa dulu pernah membesar di kampung dalam suasana tanpa kemudahan itu, sekadar bergantung kepada cahaya lampu minyak tanah, kipas upeh, televisyen hitam putih menggunakan bateri kereta atau generator yang hanya dihidupkan mulai senja hingga lewat malam. Ketika itu, kita tidak pernah bimbang terputus bekalan elektrik dan tidak juga mengeluh.
Bagaimanapun, perkara inilah yang menakutkan kita sekarang sehingga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, melenting dalam satu dialog Selasa minggu lalu berikutan rungutan pengusaha industri dan pelabur di Melaka bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan sekadar gagal memastikan bekalan elektrik terjamin, malah didakwa lewat menyediakan sambungan bekalan walaupun wang cagaran sudah dibayar.
Gangguan bekalan elektrik bukan perkara pelik. Kita sekurang-kurangnya sudah enam kali mengalami gangguan serius, termasuk pada September 1992, Ogos 1996 dan 13 Januari lalu. Malah, di negara maju seperti Amerika Syarikat masalah ini berlaku seperti kes di Los Angeles awal minggu lalu dan terbaru ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bergelap kelmarin, selepas bekalan elektrik terputus.
Kita bukan mahu membela TNB kerana setiap kelemahan perlu diperbaiki, tetapi jangan pula kerana sedikit masalah ini sampai kita melupakan langsung khidmat dan pengorbanan TNB dan kakitangannya selama ini. Sewajarnya kita turut membantu TNB mengatasi masalah yang dihadapi, bukan hanya mengkritik sehingga mengheret isu dalaman membabitkan kakitangan syarikat itu dalam perkara ini. Ingatlah kemudahan bekalan elektrik yang kita nikmati selama ini. Bukan sekadar di bandar besar, malah sejak merdeka hampir seluruh negara sudah mendapat kemudahan asas itu, termasuk rakyat di pedalaman dan pulau. Sekurang-kurangnya kita hargai pengorbanan kakitangan TNB yang terpaksa bekerja siang malam untuk memastikan hidup kita terus selesa.
Dalam isu kelewatan menyediakan sambungan bekalan sehingga menyebabkan industri kerugian berjuta-juta ringgit, kita percaya TNB mampu mengatasinya. Bagaimanapun, pihak industri juga perlu bertanggungjawab menjelaskan bil elektrik. Kita difahamkan sebahagian daripada tunggakan RM600 juta

Memalukan

SEKUMPULAN kanak-kanak berseragam sekolah siap bersongkok kelihatan berkeliaran di luar sebuah pasar raya di Shah Alam. Mereka menegur pengunjung dan meminta sumbangan ikhlas untuk sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan.
Di satu sudut berhampiran mesin ATM pula, kelihatan dua lelaki separuh umur berkopiah putih dengan kotak derma untuk pembinaan sebuah masjid di Kelantan. Kedua-dua hanya melihat orang ramai yang menderma dan kemudian mengucapkan terima kasih.
Begitulah mudahnya mengutip derma di Malaysia, terutama di kalangan orang Melayu. Jika kutipan itu dikaitkan dengan agama, sudah tentu tidak banyak soal jawab malah kebanyakannya langsung tidak peduli sama ada kutipan itu sah atau satu penipuan.
Sememangnya memberikan derma kepada mereka yang memerlukan atau untuk tujuan kebajikan adalah satu daripada tuntutan agama, tetapi cara kutipan derma itu dibuat bukan saja meragukan, malah boleh menjejaskan imej Islam itu sendiri.
Jarang kita lihat orang bukan Islam mengutip derma secara terbuka seperti itu untuk tujuan agama, tetapi di kalangan orang Islam kita boleh temui mereka bersepah di sana sini, terutama di kawasan tumpuan ramai, termasuk gerai makan.
Ada pelbagai tujuan pungutan derma ini daripada pembinaan masjid, surau, sekolah agama, rumah kebajikan hinggalah pelarian Islam Rohinya dari Myanmar. Mereka ini juga menunjukkan pelbagai surat sokongan dan kebenaran sama ada dari Jabatan Agama Islam negeri atau pihak berkuasa agama.
Kita berharap pihak jabatan agama dapat memantau kegiatan ini kerana ia kadang-kadang begitu memalukan. Kita tahu ramai yang tidak bersetuju dengan kegiatan ini, tetapi tidak sanggup menegur kerana bimbang dikatakan tidak bersimpati dengan saudara seagama.
Kita percaya tidak semua kutipan derma ini sah kerana ada juga golongan yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada kebaikan dan keikhlasan orang ramai untuk kepentingan diri. Wang dikutip masuk ke poket mereka sedangkan masjid atau sekolah agama yang disebut hanyalah rekaan semata-mata.
Sebenarnya, ada dua tabiat yang cukup berkaitan dengan orang Melayu iaitu selain suka menderma, mereka juga mudah ditipu. Ini mungkin kerana sifat murni mereka yang ikhlas dan mudah percaya dengan orang, walaupun baru dikenali.
Oleh itu tidak hairanlah jika orang Melayu sering menjadi mangsa tipu. Terbaru Selasa lalu, polis Pahang memberkas tujuh orang termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes tipu menerusi Skim Cabutan Hadiah Bertuah di negeri itu.
Menurut polis, mereka ini menawarkan pelbagai barangan elektrik seperti mesin jahit, pembersih hampa gas dan peralatan teater rumah sebagai umpan untuk memerangkap mangsa, tetapi selepas wang diserahkan mereka ini akan menghilangkan diri.
Ini bukan pertama kali berlaku, malah banyak lagi skim penipu seperti peraduan gores dan menang serta hadiah bertuah ditawarkan dari rumah ke rumah. Yang pasti, kebanyakan mangsanya adalah orang Melayu.

Pengorbanan

RONNIE Liu mungkin tidak mengenali Sarjan Jamil Mohd Shah, malah dia pasti tidak pernah terfikir bagaimana pilunya hati keluarga 24 anggota polis, anak, isteri dan penduduk Bukit Kepung, Muar, Johor, yang terkorban dalam peristiwa berdarah bermula awal pagi 23 Februari 1950, apabila segerombolan pengganas komunis menyerang balai polis kampung itu.
Selain Sarjan Jamil yang mengetuai balai polis berkenaan, turut terkorban ialah Koperal Mohd Yassin Abdul Wahab, mata-mata Mohamad Jaafar, Hamzah Ahmad, Ibrahim Adam, Jaafar Hassan, Hassan Othman dan Jidin Omar. Dalam kejadian itu, komunis turut membakar pejabat penghulu dan merompak kedai yang kebanyakannya milik peniaga Cina.
Ternyata Ronnie Liu tidak pernah menghiraukan pengorbanan itu. Sama ada dia buta sejarah atau sengaja tidak mahu mengingati sejarah perjuangan anggota pasukan keselamatan dan rakyat umumnya, yang jelas kenyataannya yang mendakwa bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Ong Boon Hua @ Chin Peng, sebagai individu yang turut memperjuangkan kemerdekaan, cukup memilukan hati.
Sememangnya, apa saja mengenai Chin Peng adalah sensitif. Jika permohonannya untuk kembali dan bermastautin di negara ini saja sudah dianggap sesuatu yang boleh menyentuh sentimen keluarga mereka yang berjuang serta terkorban ketika menentang keganasan komunis pada zaman darurat, inikan pula mengiktirafnya sebagai pejuang kemerdekaan.
Mungkin Ronnie Liu belum lahir ketika negara diancam keganasan komunis, malah parti yang diwakilinya iaitu DAP sendiri hanya lahir selepas negara mencapai kemerdekaan. Tetapi dia sepatutnya mengambil tahu sejarah negara dan belajar menghargai pengorbanan orang lain yang sanggup menggadai nyawa untuk mempertahankan negara.
Jika benarpun perjuangan komunis turut menekan British memberikan kemerdekaan kepada Malaysia, kekejaman dan keganasannya tidak boleh ditutup dengan sumbangan yang begitu kecil. Tanyalah datuk nenek kita bagaimana kejamnya komunis, mereka .
memijak perut perempuan mengandung, membunuh penduduk kampung sesuka hati, malah menyerang balai polis semata-mata kerana tertekan dan mahu merampas kuasa. Itulah antara kekejaman serta kerakusan komunis dalam meneruskan perjuangan yang sia-sia. Kehadiran mereka ibarat mimpi ngeri kepada penduduk Tanah Melayu.
Hakikatnya, `tirai besi’ sudah lama runtuh satu persatu seperti robohnya Tembok Berlin, diikuti kejatuhan kerajaan komunis di Soviet Union, Hungary, Poland, Romania, Bulgaria dan beberapa lagi negara Eropah Timur. Malangnya, di sebuah negara merdeka seperti Malaysia, masih ada orang yang menyanjung pemimpin komunis.
Ingatlah betapa seksanya ibu bapa, datuk dan nenek kita terpaksa mengharungi tempoh 12 tahun diancam keganasan komunis ketika zaman darurat mulai 1948 hingga 1960 apabila segala pergerakan dan aktiviti ekonomi rakyat terpaksa disekatkan.

Kroni

JAWAHARLAL Nehru, Indira Gandhi, Rajiv, Sonia, Rahul dan Priyanka. Semuanya ahli keluarga Gandhi. Begitu juga John F Kennedy, Robert F Kennedy dan Edward Kennedy yang datang daripada dinasti Kennedy, manakala George HW Bush dan George W Bush, kedua-dua adalah anak beranak.
Ketiga-tiga keluarga ini juga ada persamaannya iaitu mereka semuanya orang politik, malah kebanyakannya berjuang dalam parti yang sama. Bukan tiga keluarga itu saja, tapi banyak lagi di seluruh dunia orang politik yang berpengaruh datang daripada satu keluarga. Jika bukan ayah, ibu dan anak, mungkin abang atau kakak, mereka bersilih ganti menjadi pemimpin politik.
Jadi mungkin benarlah kata orang parti politik ini ibarat syarikat sendirian berhad, ayah jadi pengurus, anak jadi penyelia, adik jadi pengerusi, abang pula jadi setiausaha. Tapi tidak ada salahnya selagi pelantikan dibuat secara demokrasi. Jika anggota keluarga itu benar-benar layak dipilih, tiada siapa boleh menghalangnya!
Oleh itu, Datuk Ong Ka Chuan yang dilantik sebagai Setiausaha Agung MCA baru-baru ini tidaklah perlu bimbang tanggapan umum berhubung kedudukannya sebagai abang kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting. Beliau dipilih sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Pusat (CC), bukan dilantik sesuka hati oleh abangnya.
Sebelum ini, dua anak bekas presiden parti itu, Tun Dr Ling Liong Sik iaitu Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat, masing-masing memenangi jawatan Timbalan Ketua Pemuda MCA dan ahli jawatankuasa pusat parti.
Gerakan yang baru saja menyelesaikan pemilihan pucuk pimpinan parti itu turut menyaksikan anak presidennya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, Lim Si Pin yang menolak nasihat bapanya supaya tidak bertanding pada pemilihan parti itu, menang tanpa bertanding jawatan nombor dua Pemuda Gerakan.
Dalam Umno sendiri, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak adalah anak Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, manakala Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, anak kepada Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.
Malah di peringkat negeri, banyak lagi pemimpin Umno yang datang dari satu keluarga cuma kedudukannya tidak begitu ketara. Anak bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat, Datuk Nur Jazlan, yang menggantikan bapanya menerajui Umno Pulai. Beliau juga dipilih sebagai Ahli Parlimen Pulai, mengambil tempat bapanya.
Di kalangan parti pembangkang, dua pemimpin DAP iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Singh masing-masing mempunyai anak yang aktif dalam politik iaitu Lim Guan Eng dan Gobind Singh Deo. Guan Eng pernah dipilih sebagai wakil rakyat, manakala Gobind adalah Setiausaha Biro Publisiti DAP.

Mahal

SAYA duduk di lounge Holiday Inn Downtown Shanghai ketika seorang lelaki dari Beijing menghampiri dan ajak berbual. Dalam perbualan dengannya, saya diberitahu dia membayar 500 yuan (RM250) untuk bilik dua katil, berbanding saya membayar 750 yuan (RM375) untuk bilik jenis sama.
Ternyata, pengusaha hotel di Shanghai sudah lama mengenakan had minimum kadar bilik hotel kepada pelancong asing, malah mereka mempunyai satu kelebihan kerana menetapkan kadar yang lebih rendah kepada rakyatnya atau pelancong domestik.
Pengalaman sama juga pernah saya alami ketika berkunjung ke Indonesia apabila ada hotel bertaraf lima bintang di Jakarta, Bandung dan Bali yang menetapkan dua kadar bilik iaitu untuk pelancong dan rakyat Indonesia. Biasanya, kadar untuk pelancong domestik kurang kira-kira 30 peratus berbanding yang dikenakan terhadap rakyat asing.
Oleh itu, apabila kerajaan kelmarin mengumumkan hotel bertaraf lima bintang di seluruh negara wajib mengenakan bayaran minimum AS$80 (kira-kira RM300) semalam bagi pelancong mulai musim pelancongan tahun depan, ia bukanlah sesuatu yang asing bagi industri berkenaan.
Walaupun menyokong langkah itu yang bertujuan menambah pendapatan daripada pelancong dan memastikan pertumbuhan industri perhotelan, kita juga berharap pengusaha hotel dapat memberi pertimbangan kepada cadangan menawarkan kadar harga bilik lebih rendah kepada pelancong tempatan.
Kita difahamkan pengusaha hotel di Malaysia selama ini agak fleksibel dari segi kadar harga bilik kerana apa yang lebih penting bagi mereka ialah tetamu tinggal di hotel dan makan di restoran milik hotel berkenaan. Daripada sinilah mereka mendapat keuntungan.
Sebenarnya, dalam kita rancak menarik pelancong asing mengunjungi Malaysia dan rakyat tempat melancong di dalam negara, banyak lagi perkara yang perlu kita beri perhatian seperti kemudahan asas dan kebersihan di kawasan tumpuan pelancong serta sikap kita terhadap tetamu sama ada dari luar atau dalam negara.
Dari segi kemudahan asas, kita dapati masih banyak kekurangan terutama di kawasan tumpuan pelancong. Contohnya, kita tidak mempunyai sistem pengangkutan awam yang mesra pelancong untuk ke Cameron Highlands, Bukit Tinggi dan Port Dicksons.
Kita dapat bayangkan betapa sukarnya seorang pelancong yang tiba di Kuala Lumpur untuk meneruskan perjalanan ke destinasi berkenaan kerana kemudahan pengangkutan awam seperti bas awam kita tidak tersusun. Sepatutnya kita sudah ada satu perhentian bas khas di Kuala Lumpur untuk ke destinasi berkenaan.
Di beberapa kawasan pelancongan seperti di Cameron Highlands, pembangunan yang tidak tersusun dan dirancang dengan baik bukan saja mencatatkan pemandangan, malah membuatkan cuacanya tidak sesejuk dulu. Begitu juga di Langkawi apabila beberapa tumpuan pelancong tidak dijaga dengan baik menyebabkan ia dalam keadaan menyedihkan seperti lokasi penggambaran Anna and The King di Pantai Kok.

Tahyul

KITA sering terpengaruh dengan tahyul. Sama ada orang Melayu, Cina, India atau bangsa apa sekali pun, kita begitu mudah percaya kepada perkara yang bukan-bukan. Malah, sejak kecil lagi kita sering terdedah kepada kepercayaan mengenai wujudnya hantu, jembalang, pelesit, bomoh, dukun dan ilmu ghaib.
Saya masih ingat ketika zaman kanak-kanak, kita meminta izin daripada ‘datuk nenek’ terlebih dulu sebelum buang air kecil di tepi hutan atau semak belukar. Begitu juga ada yang terlalu takut ketika melalui tanah perkuburan atau pokok besar yang sering dikaitkan dengan kawasan ‘keras’ dan berhantu.
Bagi orang Melayu, budaya kita juga banyak yang berkait dengan tahyul walaupun sebahagian daripadanya sudah tidak diamalkan lagi. Dulu kerap kita dengar orang berkunjung ke makam atau tempat keramat untuk membayar nazar, buang bala, mandi bunga dan macam-macam lagi.
Apabila dewasa, tahyul terus menjadi sebahagian daripada kita. Pantang melihat sesuatu yang aneh dan berbeza, kita mudah percaya. Lihat saja berapa ramai yang terjerumus dalam kesesatan kerana percaya kekuatan dan kehebatan manusia biasa, sehingga sanggup menduakan Allah SWT.
Dulu ramai yang terpengaruh dengan al-Arqam sehingga kumpulan itu diharamkan. Kini, ada 122 kumpulan ajaran sesat di seluruh negara dan 22 daripadanya bergerak aktif. Apa yang menghairankan, kumpulan ini berjaya menarik minat orang ramai, termasuk golongan profesional yang bukan calang-calang penguasaannya dalam ilmu dunia.
Terbaru kes ajaran sesat Ayah Pin yang berpangkalan di Hulu Besut, Terengganu. Kumpulan itu yang dipimpin Ayah Pin atau nama sebenar Ariffin Mohamad, 65, mempunyai lebih 1,000 pengikut, termasuk pegawai tinggi kerajaan dan ahli korporat. Mereka ini bukan saja di kalangan orang Islam, malah penganut agama lain.
Pengikutnya cukup taksub dengan Ayah Pin dan dalam serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Sabtu lalu, pengikutnya yakin Ayah Pin tidak ditangkap kerana dia ghaib. Malah, Ayah Pin sendiri mengaku mempunyai kuasa boleh membunuh seseorang melalui pemikirannya walaupun di mana berada.
Tahyul memang menyesatkan. Ia membuatkan orang yang tidak kuat iman hilang pedoman, tidak dapat membezakan yang mana lebih mempersona, ditakuti dan dihormati. Tuhan, orang yang dianggap sakti dan suci atau penghuni alam ghaib?
Tetapi dalam diam kita sebenarnya tidak dapat menolak semua itu. Ia ada di sekeliling kita dan terus mempengaruhi kita. Secara zahirnya kita menolak semua itu, tetapi tanpa disedari kita asyik dan terpesona dengannya.

Arroyo

JIKA satu ketika dulu Ferdinand Marcos digulingkan oleh kuasa rakyat, kini Gloria Macapagal Arroyo pula menghadapi masalah dengan rakyat. Puncanya pita rakaman yang didakwa menunjukkan Presiden Filipina itu berkonspirasi untuk menipu dalam pilihan raya Mei 2004 lalu.
Semua ini angkara bekas Timbalan Ketua Biro Siasatan Negara, Samuel Ong, yang mendedahkan rakaman perbualan kontroversi kononnya Arroyo mengarahkan pesuruhjaya pilihan raya, Virgilio Garcillano, memastikan kemenangannya dengan majoriti satu juta undi ketika berdepan lawannya, Fernando Poe Jr, seorang bintang filem terkenal di Filipina yang menjadi rakan baik bekas presiden, Joseph Estrada
Sememangnya, Arroyo semakin tidak popular. Sejak dilantik semula setahun lalu, banyak perkara yang membuatkannya dibenci rakyat. Ekonomi merudum, hutang negara semakin besar, rasuah berleluasa dan dakwaan keluarganya terbabit dalam sindiket judi haram, menyebabkan kedudukan Arroyo bertambah goyah. Lebih memburukkan keadaan, pemimpin Katolik Filipina turut mengkritik corak kepemimpinannya secara terbuka.
Kes konspirasi itu hanyalah pencetusnya saja. Sama ada benar suara di dalam pita itu milik Arroyo atau orang lain tidak ramai yang peduli, sebaliknya mereka ini tidak mahu lagi melihat Arroyo berada di Istana Malacanang. Mereka mahu menghalaunya seperti juga yang dilakukan terhadap Marcos dan Estrada.
Malangnya, kerajaan Arroyo juga tidak berminat membuktikan dakwaan itu atau mengenalpasti suara siapa dalam pita berkenaan, tetapi lebih tertumpu kepada usaha mencari dan menagkap mereka yang dikatakan melanggar akta melarang curi rakam perbualan, terutama Ong
Malah, Ong ketika berlindung di Pusat Latihan San Carlos dekat Manila sebelum ini dilaporkan menyeru orang ramai supaya membantunya kerana bimbang akan dibunuh jika keluar dari situ. Kini, Ong gagal dikesan selepas keluar dari pusat latihan itu.
Apapun, sejak minggu lalu Manila sudah tidak aman lagi. Sekumpulan rakyat yang menentang Arroyo mengadakan demontrasi hampir setiap hari, mendesak Arroyo meletak jawatan.
Sejak kuasa rakyat berjaya menjatuhkan Marcos , segelintir rakyat Filipina ini ibarat ketagih dengan tunjuk perasaan dan mudah bertindak tanpa berfikir panjang. Mungkin mereka ini golongan minoriti, tetapi apa yang dilakukan tetap menjejaskan imej Arroyo.
Mereka ini mahu menukar presiden seperti berganti pakaian, sama seperti rakan mereka di Indonesia yang bersilih ganti pemimpin negara. Akibatnya, politik jadi tidak stabil, sekali gus menjejaskan ekonomi. Pelabur takut melabur kerana tidak dapat menjangka apa yang akan jadi pada esok hari.
Penentang Arroyo yang mahukan beliau berundur ini pastinya bukan penyokong Poe yang kalah kepada Arroyo dalam pilihan raya lalu. Poe sudah tiada. Dia meninggal dunia Disember lalu. Yang ada hanya kumpulan sayap kiri dan sekutu yang rapat dengan parti
pembangkang.
Mujurlah dalam perkembangan terbaru ini tentera tidak ikut sama menentang Arroyo. Jika tidak pasti peristiwa pahit sebelum ini akan berulang. Pada 1986, tentera dengan sokongan gereja membantu menumpaskan Marcos. Malah, tentera juga mengambil bahagian dalam enam cubaan merampas kuasa ketika era kepemimpinan Corazon Aquino, manakala pada 2001, tentera turut bertanggungjawab menggulingkan Estrada.
Dua tahun lalu, Arroyo pernah diancam oleh tentera. Ketika itu sekumpulan anggota tentera mengancam akan meletupkan kawasan kediaman di Manila jika Arroyo tidak meletak jawatan.
Beberapa minggu lalu, Arroyo sempat dikejutkan oleh seorang bekas pegawai kanan tentera yang juga antara perancang utama penggulingan Estrada, Jeneral Fortunato Abat apabila dia mendesak Arroyo meletak jawatan. Jauh sebelum itu, bekas Ketua Tentera Laut, Rex Robles yang turut terbabit ketika menggulingkan Marcos, memberi amaran kemungkinan berlakunya cubaan merampas kuasa.
Ternyata Arroyo kini tidak lagi selamat. Beliau berhadapan dengan pelbagai ancaman yang sukar untuk dikesan. Sebarang kesilapan mungkin menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan Malacanang.

Cabaran

MINORU Saito, pelaut warga Jepun berusia 71 tahun itu mencatatkan nama sebagai pelaut tertua mampu belayar mengelilingi dunia secara solo tanpa henti, apabila dia tiba di pelabuhan Miura, dalam wilayah Kanagawa, Isnin lalu..
Dia yang berada di atas kapal layar Shuten-dohji II selama 244 hari, belayar sejauh 50,000 kilometer dalam masa lapan bulan dari Jepun ke Amerika Selatan, Afrika dan Australia, sebelum belayar pulang ke Jepun Ini adalah pelayaran ketujuhnya.
Dua tahun lalu, Yuichiro Miura menjadi pendaki tertua menawan puncak Everest dalam usia 70 tahun dan beberapa tahun sebelum itu seorang wanita Jepun berusia 72 tahun menjadi wanita tertua menawan puncak Cho Oyu yang tingginya 8,201 meter.
Rakyat Malaysia juga sudah banyak mencipta sejarah. Datuk Azhar Mansor belayar secara solo mengelilingi dunia, M Magendran dan N Mohandas serta Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin dan Ahmad Redzuan Rozal berjaya menawan Everest.
Begitu juga dengan Datuk Abdul Malik Mydin yang berjaya merengani Selat Inggeris, manakala Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir menjadi wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo.
Cuma bezanya, warga Jepun yang mencipta sejarah itu sudah boleh digelar datuk atau nenek yang usianya lebih 70 tahun, sedangkan orang kita yang mencipta sejarah itu adalah di kalangan orang muda yang penuh bertenaga.
Azhar melakukannya ketika berusia 40 tahun, Magendran, 33; Mohandas, 35; Muqharabbin dan Redzuan kedua-duanya 22 tahun, Abdul Malik, 28 dan Sharifah Mazlina, 39. Semuanya berusia bawah 40 tahun.
Ternyata umur tidak menghalang kita daripada menghadapi cabaran, tetapi orang Jepun nampaknya lebih ke depan dalam soal ini. Bagaimanapun, tidak bermakna generasi tua kita tidak aktif, cuma cara kita berbeza.
Kalau kita ke taman tasik setiap pagi, kita boleh temui gelongan tua ini berjalan atau berlari-lari anak untuk menyihatkan badan. Kebanyakan mereka ini adalah pesara yang menghabiskan sisa-sisa hidup dengan beribadat serta bersama keluarga.
Jika kita berjalan di tepi pantai pada waktu petang, khususnya di Pantai Timur, mungkin kita boleh temui golongan tua yang bermain dam atau bersembang di warung kopi sambil menunggu tibanya waktu Maghrib. Itu kebiasaan warga tua kita, tidak gemar melakukan sesuatu yang mencabar di hujung usia.
Di Jepun atau mungkin juga di Eropah, warga tuanya lebih aktif. Malah, jika kita amati kebanyakan daripada pelancong Jepun atau Eropah terdiri daripada warga tua. Mereka ini bekerja keras ketika muda untuk mengumpul wang dan apabila sudah bersara, menghabiskan masa dengan melancong ke luar negara.
Seorang teman yang terbabit menguruskan agensi pelancongan memberitahu saya, sebahagian besar pelancong Jepun dan Eropah yang menyertai pakej dikendalikannya berusia lebih 60 tahun dan mereka ini gemar berkunjung ke tempat yang mencabar seperti taman negara.
Selain kisah warga tua di Jepun, ada juga cerita menarik mengenai gangster tua di Taiwan yang meninggal dunia baru-baru ini. Kematiannya juga mencipta sejarah apabila untuk pertama kalinya lebih 10,000 samseng dari seluruh Asia, berkumpul di Taipei bagi, menghadiri majlis pengebumiannya.

Schapelle Corby

ADA apa pada Schapelle Corby? Wanita berusia 27 tahun yang dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Indonesia Jumaat lalu selepas didapati bersalah meyeludup 4.1 kilogram ganja ke Bali, mendapat pembelaan bukan saja dari kerajaan Australia, malah sebahagian daripada rakyat negara itu.
Selain enggan menerima keputusan yang boleh dianggap ringan itu, mereka juga membuat pelbagai ugutan termasuk mahu memulaukan Pulau Bali sebagai destinasi pelancongan serta menuntut dipulangkan semula sumbangan dan bantuan yang dihulurkan kepada mangsa bencana tsunami di Indonesia tempoh hari.
Begitu anehnya sikap rakyat negara maju itu. Sepatutnya rakyat Australia menghormati undang-undang negara lain dan menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka, bukan secara emosional membuta tuli. Itu baru hukuman penjara dan denda, belum lagi hukuman mati atau penjara seumur hidup!
Mungkin mereka boleh memulaukan Indonesia, tidak melancong ke negara itu dan tidak berhubung dengan rakyat republik itu. Mereka boleh melakukannya kerana itu hak mereka, tetapi jika sampai menuntut semula apa yang pernah mereka sumbangkan kepada mangsa bencana alam, itu mungkin sudah melampau.
Apakah rakyat Indonesia juga perlu menggantikan nyawa sembilan anggota Tentera Laut Australia yang terkorban apabila helikopter Sea King terhempas dalam misi bantuan mangsa gempa bumi di Pulau Nias, April lalu?
Hakikatnya, kerajaan Australia nampaknya tunduk kepada kehendak rakyat dan medianya yang mendakwa Corby tidak bersalah dan menjadi mangsa penganiayaan, walaupun mereka menyedari semua itu hanya andaian mereka saja, sedangkan keputusan mahkamah mendapati Corby bersalah.
Bagaimanapun, kita memuji sikap Perdana Menteri Australia, John Howard, yang mengkritik sikap rakyat Australia itu, malah menganggap desakan mereka supaya beliau campur tangan dan menghubungi pemimpin Indonesia bagi pembebasan Corby sebagai ‘tindakan bodoh’.
Laporan rasmi setakat ini menunjukkan 155 rakyat Australia kini berada di penjara luar negara dengan dua daripada mereka sedang menanti hukuman mati, tetapi belum ada kes yang mendapat perhatian masyarakat seperti kes Corby. Jadi apa istimewanya Corby?
Kita pernah mengalami masalah sama apabila dua rakyat Australia, John Kevin Barlow dan Brian Geoffrey Chambers, dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 1985 kerana mengedar 179.56 gram heroin di negara ini. Ketika itu, pelbagai pihak di Australia mengecam keputusan berkenaan, tetapi kita tidak menghiraukannya kerana undang-undang adalah untuk ditegakkan, bukan dipertikaikan.
Malah, seorang wanita rakyat Malaysia, Rozana Zubir, 36, kini menghadapi nasib hampir sama dengan Corby apabila dia dituduh menyeludup lima kilogram candu ke Australia pada 1 April lalu. Kesnya kini masih dibicarakan di mahkamah negara itu. Rozana mendakwa dadah itu dimasukkan ke dalam bagasinya oleh seorang lelaki warga Iran tanpa pengetahuannya.
Setakat ini, kerajaan Malaysia sudah menyatakan pendirian tidak akan masuk campur dalam kes berkenaan kerana menghormati proses perundangan di negara itu, sebaliknya hanya akan memberi bantuan sewajarnya termasuk memastikan kebajikan Rozana terjamin ketika dipenjara.
Tapi malangnya, sebahagian rakyat Australia bersikap tidak rasional, malah semalam ada pihak tidak bertanggungjawab menghantar serbuk mengandungi bakteria jenis bakilus yang mempunyai kaitan dengan virus antraks, ke Kedutaan Indonesia di Canberra, menyebabkan polis terpaksa menutup sementara kedutaan itu dan 22 kakitangannya diarah terus berada dalam bangunan berkenaan.
Jika sebelum ini Australia begitu ghairah menuduh sebarang ancaman keselamatan pasti dilakukan oleh pengganas Islam dan mengaitkannya dengan al-Qaeda, kini mereka tergamam seketika malah Menteri Luarnya, Alexander Downer, percaya kejadian itu ada kaitan dengan perasaan marah rakyat negara itu berhubung kes Corby.
Pengakuan Downer itu mungkin berasas kerana sebelum ini kakitangan kedutaan itu pernah menerima ancaman bunuh, selain sepucuk surat yang mengandungi peluru turut dihantar di pejabat konsulat Indonesia di Perth bulan lalu.
Apapun, tindakan seperti itu amat membimbangkan dan ia bukan caranya untuk menyelesaikan masalah.

Penghinaan

DUA beranak, Bubloo dan NR Pachasia sudah tentu pening kepala. Filem mereka bukan saja ditarik daripada pawagam, malah tidak ada siapa yang berani menayangkannya lagi. Setakat ini, seorang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila dua pawagam di New Delhi yang menayangkan filem Hindi itu dibom oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Biasanya kontroversi menyebabkan sesebuah filem box office, tetapi malangnya Jo Bole So Nihaal menyebabkan kerugian besar kepada penerbit dari New York itu. Masyarakat Sikh mendakwa filem itu menghina mereka, terutama adegan menunjukkan pelakon keluar masuk kuil Sikh tanpa membuka kasut atau menutup kepala.
Selain itu, banyak lagi bantahan dibuat terhadap filem berkenaan termasuk adegan yang mana hero filem itu, Sunny Deol, minum minuman keras, malah mereka menuntut hanya pelakon Sikh atau Hindu saja boleh membawa watak Sikh, bermakna Shah Rukh Khan dan Salman Khan tidak boleh berlakon sebagai orang Sikh.
Masyarakat Sikh juga tidak bersetuju dengan tajuk filem berkenaan yang bermakna ‘Setiap orang yang menyebut Tuhan akan diberkati’ kerana perkataan itu dikatakan hanya disebut di kuil Sikh atau oleh pejuang Sikh di medan perang.
Anehnya, filem arahan Rahul Rawail itu sudah mendapat restu daripada Akal Takht, badan tertinggi yang menaungi agama Sikh, sama seperti Vatican bagi penganut Katolik, selain sudah diluluskan oleh badan penapis filem negara itu.
Dulu, banyak filem Bollywood yang dikatakan menghina Islam. Filem Bombay mengenai hubungan cinta seorang lelaki Hindu dan wanita Islam, berlatarbelakangkan rusuhan agama di Gujerat pada 1993, dibantah masyarakat Islam. Begitu juga Final Solution arahan Rakesh Sharma yang menyalahkan orang Islam sebagai penyebab rusuhan agama itu.
Bagaimanapun, reaksi masyarakat Sikh lebih berkesan berbanding bantahan masyarakat Islam India. Walaupun dibantah, filem menghina Islam jarang yang diharamkan, tetapi apabila masyarakat Sikh mengkritik Jo Bole So Nihaal, filem itu ditarik dari pawagam.
Mungkin juga tindakan itu bukan kerana bantahan, sebaliknya serangan bom yang menakutkan pengusaha pawagam. Walaupun belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan bom itu, ia tetap dikaitkan dengan kumpulan pemisah Sikh yang pernah melancarkan kempen pengeboman pada 1980-an.
Apapun, masyarakat Sikh cukup berpengaruh di India walaupun jumlah mereka hanya 1.9 peratus daripada 1.08 bilion penduduk India. Maysarakat Islam yang mewakili lebih 12 peratus penduduk benua kecil itu sendiri tidak dapat menandingi mereka. Lihat saja Perdana Menteri India, Manmohan Singh, adalah keturunan Sikh, begitu juga ramai anggota Kabinetnya berbangsa Sikh.
Filem menghina agama dan budaya sesuatu bangsa bukan asing lagi, sama seperti bantahan terhadap karya berkenaan. Di Amsterdam, pengarah filem terkenal, Theo Van Gogh, dibunuh kerana filem karyanya, Submission, didakwa menghina umat Islam.
Dia dengan angkuh menghina cara Islam melayan wanita dalam filem itu, malah dalam satu adegan turut memaparkan wanita bogel dengan ayat al-Quran ditulis pada badannya. Akhirnya Van Gogh mati dibunuh oleh seorang lelaki keturunan Maghribi.