SEJAK akhir minggu lalu, jutaan penduduk dunia menjadi pencandu televisyen. Lebih parah lagi kita di Malaysia kerana sanggup berjaga hingga lewat pagi untuk menonton aksi hebat orang Eropah bermain bola sepak. Ternyata, tarikan Kejohanan Bola Sepak Negara-negara Eropah (Euro 2004) yang sedang berlangsung di Portugal, begitu hebat.
Semua ini kerana bola sepak sudah mendunia. Ia tidak mengenal sempadan negara, bangsa, budaya dan agama. Ramai di antara kita, termasuk remaja dan anak kita yang masih di sekolah rendah, lebih mengenali Zinedine Zidane, Luis Figo, David Beckham dan Francesco Totti, berbanding pemimpin politik dan tokoh korporat kita sendiri.
Bola sepak juga membuatkan ramai orang hilang kewarasan. Apabila Portugal kalah mengejut 1-2 kepada Greece dalam perlawanan pembukaan, Figo dan rakannya dikecam, disindir dan dikutuk bukan saja oleh peminat bola sepak negara itu, malah medianya sendiri. Mereka menganggap kekalahan itu sesuatu yang begitu memalukan.
Begitu juga apabila England kalah kepada Perancis, peminat bola sepak England yang sememangnya terkenal ganas, merusuh dengan melontarkan batu kepada polis dan merosakkan harta awam. Mereka bukan saja melakukannya di Lisbon, malah di London.
Kenapa bola sepak Eropah begitu popular sehingga kita yang berada jauh beribu-ribu kilometer dari mereka, tidak ada hubungan emosional, baik hubungan darah atau bangsa, malah kebanyakan kita tidak pernah bertentang mata dengan mereka kecuali di kaca televisyen, begitu taksub dengan mereka? Kenapa aksi bintang bola sepak Eropah mampu menyihir umat manusia?
Ada beberapa sebab yang boleh kita andaikan.
Pertamanya, orang seperti Zidane, Figo, Beckham, Totti dan sebelumnya, Maradona serta Pele, dikagumi kerana kehebatan serta ketangkasan mereka mengawal bola, merancang dan membenamkan bola ke pintu gol lawan. Mereka adalah seniman yang beraksi dalam drama bola sepak.
Kedua, bola sepak Eropah adalah permainan yang meletakkan semangat kesukanan pada tahap paling tinggi. Setiap pemain tunduk kepada peraturan, jarang berlaku bantahan keras terhadap hukuman dijatuhkan pengadil, manakala pengadil pula menjunjung tinggi suara hatinya dalam menjatuhkan hukuman, tanpa campur tangan pihak lain. Kalah dan menang adalah lumrah yang diterima dengan hati terbuka.
Ketiga, sukan itu terutama bola sepak moden adalah dunia profesional. Setiap orang yang terbabit di dalamnya, sama ada pemilik kelab, pengurusan, jurulatih, pengadil dan pemain, tahu betul tugas mereka.
Mereka menunaikan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh tanpa campur tangan pihak lain.
Keempat, bola sepak Eropah adalah sukan yang penuh dengan disiplin dan kerja keras. Tidak mungkin ada pemain yang mampu bermain setiap minggu tanpa disiplin, latihan dan kerja keras, sama ada ketika bermain, berlatih atau mengatur kehidupan harian.
Oleh itu, apabila ketika menonton Euro 2004, kita sebenarnya menonton sekumpulan profesional yang menjunjung tinggi semangat kesukanan, berdisiplin, bekerja keras dan tahu menguruskan bakat yang mereka miliki dengan baik. Hasilnya, lahirlah satu temasya yang mampu menarik perhatian jutaan manusia.
Terakhir dan yang paling penting, Euro 2004 adalah kejohanan bola sepak orang Eropah atau `orang putih'. Sememangnya apa saja yang dilakukan orang Eropah menjadi perhatian dunia. Sebenarnya, mereka bukanlah begitu hebat kerana ramai lagi pemain bola sepak, khususnya di Brazil dan Argentina yang lebih hebat.
Tetapi orang Eropah mempunyai kelebihan iaitu mereka pandai memasarkan diri mereka dan produk mereka. Kita pula mudah terpengaruh dengan mereka. Selain Euro, kita juga terpaku melihat UEFA Championship League (Liga Juara-Juara), kejohanan bola sepak membabitkan kelab di Eropah seperti Chelsea, Porto, Real Madrid, Arsenal, Juventus dan Ajax.
Di Amerika Selatan juga ada Copa America dan Copa Libertadores. Copa America adalah kejohanan bola sepak membabitkan pasukan negara di Amerika Selatan seperti Brazil, Argentina, Uruguay, Paraguay dan Peru, manakala Copa Libertadores pula membabitkan kelab terkemuka mereka seperti Boca Juniors, Palmeiras, River Plate dan Vasco Da Gama.
Bagaimanapun, Copa America tidak dapat menandingi Euro, manakala Copa Libertadores gagal mengatasi UEFA Championship League. Orang Amerika Selatan ada bakat tapi tidak pandai memasarkannya. Sebaliknya, ramai pemain mereka menjadi terkenal kerana bermain di kelab di Eropah. Kita mengenali Ronaldo di Real Madrid, Ricardo Oliveira (Valencia), Hernan Crespo (Chelsea), Juan Pablo Angel (Aston Villa), Rogue Santa Cruz (Bayern Munich) dan ramai lagi.
Sama juga dengan kita. Orang kita ada bakat tapi bukan sekadar tidak pandai memasarkannya, malah ramai yang gagal untuk pergi jauh kerana tidak berdisiplin, tidak mahu bekerja keras dan tidak tahu menguruskan bakat yang mereka miliki.
BH 17 Jun 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment