Monday, May 04, 2009

Kubitschek

JIKA Juscelino Kubitschek masih hidup, umurnya kini sudah 100 tahun dan dia pastinya sedih kerana kota yang dibangunkan 40 tahun lalu tidak menjadi seperti yang diharapkan. Brasilia, ibu negara Brazil yang dibangun dalam bentuk sebuah pesawat dengan pusat pentadbiran terletak di sayap kiri dan kanan serta istana presiden di muncungnya, kini ibarat keris pusaka berkarat yang terpaksa disimpan hanya kerana ia milik keturunan.
Selama hampir seminggu saya cuba melihat keunikannya, tetapi sayang kerana yang dapat saya lihat hanya kecacatannya. Stesen bas kotor, peniaga jalanan, peminta sedekah, anak-anak yang mencari nafkah dengan menjual gula-gula ketika kenderaan berhenti di lampu merah dan bangunan yang tidak terjaga, mencacatkan ibu negara yang dirancang begitu rapi oleh Lucio Costa dan Oscar Niemeyer itu.
Mungkin saya tidak sepatutnya menilai Brasilia hanya selepas lima hari tinggal di situ, tetapi apa yang dilihat sudah cukup untuk membolehkan saya membuat kesimpulan bahawa Brasilia yang kini dihuni kira-kira dua juta nyawa, tidak ubah seperti Jakarta walaupun ia terletak jauh di Latin Amerika. Cuma bezanya Jakarta lebih padat berbanding Brasilia.
Semua ini bukan salah Kubitschek, Costa atau Niemeyer, tetapi warganya yang tidak tahu menilai keindahan Brasilia. Sikap pengotor, sambil lewa dan tidak menghargai harta awam menyebabkan ibu negara `Samba' itu tidak terjaga.
Persekitaran yang tidak menarik menyebabkan tidak ramai pelancong berkunjung ke sana, kecuali mereka yang mempunyai urusan dengan kerajaan kerana di sinilah letaknya semua pejabat kerajaan.
Brasilia adalah di antara kota yang dirancang khusus sebagai sebuah ibu negara. Ia seperti juga New York yang dijadikan sebagai ibu negara Amerika Syarikat pada 1800, Canberra yang dibina pada 1913 dan diisytiharkan sebagai ibu negara Australia pada 1927 atau Putrajaya yang dirancang sebagai pusat pentadbiran negara menggantikan Kuala Lumpur.
Ada beberapa persamaan antara Brasilia, Canberra dan Putrajaya. Ketiga-tiganya mempunyai tasik buatan manusia dengan Brasilia memiliki tasik yang paling besar. Ia juga mempunyai tiga jambatan merintangi tasik berkenaan, sama seperti yang boleh kita lihat jika berkunjung ke Canberra dan Putrajaya. Malah, jambatan ketiga di Brasilia yang unik menjadikannya satu lagi mercu tanda baru ibu negara itu.
Cuma hasil pengamatan saya mendapati, warga Brazil agak malas, gemarkan hiburan dan kurang sifat bertanggungjawab. Masalah kewangan pula menyebabkan pelbagai projek yang dirancang tidak dapat dilaksanakan.
Akibatnya, ibu negara berkenaan jadi seolah-olah terbiar. Ada juga bangunan pejabat yang sudah lama siap dan cantik, terbiar tanpa penghuni kerana tidak ramai orang yang ingin menyewa pejabat.
Satu lagi kekurangan Brasilia ialah sistem pengangkutan awamnya yang tidak teratur. Ini menyebabkan orang ramai lebih gemar memandu ke tempat kerja dan akibatnya, kesesakan sering berlaku tanpa mengira masa. Projek subway yang dirancang juga tergendala akibat masalah kewangan.
Bagaimanapun, Brasilia masih mempunyai beberapa kelebihan. Perancangan rapi dengan kawasan perindustrian ditempatkan jauh dari pusat bandar menyebabkan warga kota selamat dari ancaman pencemaran alam sekitar.
Selain itu, hanya industri kecil yang tidak menyebabkan pencemaran saja dibenarkan beroperasi dalam kawasan dibenarkan, membolehkan masalah pencemaran alam mudah dikawal.
Kedudukannya di tengah-tengah Brazil juga menyebabkan ia bebas daripada ancaman bencana alam seperti banjir dan gempa bumi. Ia juga memiliki kawasan hijau yang luas di kiri kanan bangunan dan jalan. Brasilia terletak kira-kira 870 kilometer dari Sao Paulo dan 931 km dari Rio de Janeiro, manakala Canberra kira-kira 240 km dari Sydney dan Washington pula 327 km dari New York.
Saya tidak bertujuan memburuk-burukkan Brasilia, sebaliknya apa yang saya harap ialah kita jadikan ia sebagai teladan supaya Putrajaya tidak menjadi Brasilia suatu hari nanti. Mungkin Putrajaya diilhamkan daripada gabungan Brasilia, Canberra dan New York, tetapi biarlah ia memiliki keistimewaannya sendiri dan jagalah ia supaya tidak menjadi seperti Brasilia.

BH 20 March 2003

No comments: