Monday, May 04, 2009

Evita

"DON'T cry for me Argentina!" kata Madonna, tetapi rakyat negara Amerika Selatan itu terus menangis, malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini hampir setiap hari mereka turun ke jalan di Buenos Aires, mengadakan demonstrasi dengan membawa pelbagai sepanduk mengecam ahli politik dan kerajaan yang mereka dakwa gagal mengendalikan ekonomi negara itu.
Tindakan mereka memang bersebab. Satu daripada lima penduduk Argentina adalah penganggur, manakala keluaran dalam negara kasarnya jatuh 25 peratus sejak 1999. Ekonomi negara itu mengalami kejatuhan paling parah pada awal abad ke-21 selepas menikmati keajaiban ekonomi pada akhir abad lalu. Dalam tempoh empat tahun, Argentina menjadi negara miskin yang terpaksa mengharap belas ihsan orang lain.
Lima tahun lalu, saya pernah berkunjung ke Buenos Aires. Kota itu cukup menarik dan merangsang. Selain steak lembunya yang dikatakan terbaik di dunia, ia juga memiliki kelab-kelab tango yang sentiasa penuh dengan manusia. Orang Argentina juga terkenal dengan gaya mereka - lelakinya sentiasa kemas berkot dan tali leher seperti Che yang dilakonkan Antonio Banderas dalam filem Evita, manakala wanitanya pula seperti Eva Peron lakonan Madonna yang anggun dengan gaun atau skirt pendek yang boleh
menyebabkan degupan jantung semakin cepat.
Ketika itu, nilai peso Argentina sama dengan dolar Amerika. Deretan kedai di Florida 1000 - kawasan beli-belah terkenal di Buenos Aires - penuh dengan pelancong yang sebahagian besarnya, termasuk saya, hanya mampu melihat-lihat kerana tidak berdaya membeli disebabkan harga yang mahal.
Kini, 100 peso hanya bernilai AS$25 (RM95). Banyak bank yang secara teknikalnya sudah muflis. Kerajaan gagal membayar hutang, termasuk faedah berjumlah AS$27 juta (RM102.6 juta) daripada bon Samurai yang dikeluarkan oleh Jepun. Malah, ada wilayah tertentu di negara itu yang mencetak wang mereka sendiri. Harga barang naik mendadak dan inflasi sudah tidak dapat dibendung lagi.
Jalan rayanya yang luas dan dulunya penuh dengan kereta mewah, kini sebaliknya dipenuhi penunjuk perasaan seperti yang saya lihat di saluran BBC semalam apabila lebih 10,000 orang turun ke jalan menyertai demonstrasi besar-besaran menentang kerajaan yang dulunya kuasa ekonomi ketiga terbesar di Amerika Selatan.
Apa yang paling menyedihkan, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Kerajaan Amerika Syarikat yang dulunya sibuk campur tangan, kini sebaliknya `basuh tangan' dan membiarkan saja kerajaan pimpinan Presiden Eduardo Duhalde - presiden kelima dalam tempoh enam bulan - menyelesaikan sendiri masalah ekonomi negaranya.
IMF menghentikan bantuan berbilion dolar pada Disember lalu ketika krisis ekonomi Argentina sedang memuncak yang mana jawatan Presiden dua kali bertukar tangan dalam tempoh dua minggu. Ia meletakkan pelbagai syarat bertujuan mengikat negara itu, jika mahu bantuan diteruskan.
Rakyatnya menolak IMF, tetapi kerajaan negara itu hingga kini masih meneruskan rundingan. Kini pasukan perunding IMF masih berada di Buenos Aires, cuba meyakinkan kerajaan negara itu supaya mengambil langkah tegas terhadap sistem kewangannya. Bagaimanapun, rakyat Argentina tidak mahu negara mereka menjadi seperti Mexico atau Indonesia yang terus terikat dan duduk di bawah telunjuk IMF.
Kenapa ekonomi Argentina merudum begitu teruk? Walaupun ramai yang menyalahkan penilaian mata wang peso yang terlalu tinggi dan kurangnya disiplin fiskal sebelum ini, sebab utama masalah itu sebenarnya ialah hilangnya keyakinan terhadap ekonomi Argentina yang berpunca daripada kejatuhan ekonomi di beberapa negara lain, termasuk jirannya, Brazil.
Kini tiada siapa yang dapat memberi penuh kepercayaan kepada institusi ekonomi negara itu kerana ia mempunyai sejarah hitam yang panjang bagi pelabur asing. Tindakan kerajaannya yang sering menukar dasar dan mencetak wang untuk membayar bil menakutkan pelabur asing, malah mereka berpendapat Kerajaan Argentina sukar untuk dipercayai.
Antara cara untuk mengembalikan keyakinan pelabur ialah memperkemaskan dasar fiskalnya. Seperti kata seorang pakar ekonomi negara itu, Argentina perlu mengimport keseluruhan sistem kewangan, perbankan dan sistem simpanan yang tertakluk kepada pengawasan terbaik dunia.
Mungkin juga Argentina boleh belajar dari Malaysia bagaimana mengatasi masalah ekonominya berdasarkan pengalaman kita sebelum ini. Bukanlah susah untuk ke Malaysia kerana sehingga hari ini pun, Penerbangan Malaysia (MAS) masih mengendalikan penerbangan ke Buenos Aires.

BH 22 Julai 2002

No comments: