Thursday, June 29, 2006

Arroyo

JIKA satu ketika dulu Ferdinand Marcos digulingkan oleh kuasa rakyat, kini Gloria Macapagal Arroyo pula menghadapi masalah dengan rakyat. Puncanya pita rakaman yang didakwa menunjukkan Presiden Filipina itu berkonspirasi untuk menipu dalam pilihan raya Mei 2004 lalu.
Semua ini angkara bekas Timbalan Ketua Biro Siasatan Negara, Samuel Ong, yang mendedahkan rakaman perbualan kontroversi kononnya Arroyo mengarahkan pesuruhjaya pilihan raya, Virgilio Garcillano, memastikan kemenangannya dengan majoriti satu juta undi ketika berdepan lawannya, Fernando Poe Jr, seorang bintang filem terkenal di Filipina yang menjadi rakan baik bekas presiden, Joseph Estrada
Sememangnya, Arroyo semakin tidak popular. Sejak dilantik semula setahun lalu, banyak perkara yang membuatkannya dibenci rakyat. Ekonomi merudum, hutang negara semakin besar, rasuah berleluasa dan dakwaan keluarganya terbabit dalam sindiket judi haram, menyebabkan kedudukan Arroyo bertambah goyah. Lebih memburukkan keadaan, pemimpin Katolik Filipina turut mengkritik corak kepemimpinannya secara terbuka.
Kes konspirasi itu hanyalah pencetusnya saja. Sama ada benar suara di dalam pita itu milik Arroyo atau orang lain tidak ramai yang peduli, sebaliknya mereka ini tidak mahu lagi melihat Arroyo berada di Istana Malacanang. Mereka mahu menghalaunya seperti juga yang dilakukan terhadap Marcos dan Estrada.
Malangnya, kerajaan Arroyo juga tidak berminat membuktikan dakwaan itu atau mengenalpasti suara siapa dalam pita berkenaan, tetapi lebih tertumpu kepada usaha mencari dan menagkap mereka yang dikatakan melanggar akta melarang curi rakam perbualan, terutama Ong
Malah, Ong ketika berlindung di Pusat Latihan San Carlos dekat Manila sebelum ini dilaporkan menyeru orang ramai supaya membantunya kerana bimbang akan dibunuh jika keluar dari situ. Kini, Ong gagal dikesan selepas keluar dari pusat latihan itu.
Apapun, sejak minggu lalu Manila sudah tidak aman lagi. Sekumpulan rakyat yang menentang Arroyo mengadakan demontrasi hampir setiap hari, mendesak Arroyo meletak jawatan.
Sejak kuasa rakyat berjaya menjatuhkan Marcos , segelintir rakyat Filipina ini ibarat ketagih dengan tunjuk perasaan dan mudah bertindak tanpa berfikir panjang. Mungkin mereka ini golongan minoriti, tetapi apa yang dilakukan tetap menjejaskan imej Arroyo.
Mereka ini mahu menukar presiden seperti berganti pakaian, sama seperti rakan mereka di Indonesia yang bersilih ganti pemimpin negara. Akibatnya, politik jadi tidak stabil, sekali gus menjejaskan ekonomi. Pelabur takut melabur kerana tidak dapat menjangka apa yang akan jadi pada esok hari.
Penentang Arroyo yang mahukan beliau berundur ini pastinya bukan penyokong Poe yang kalah kepada Arroyo dalam pilihan raya lalu. Poe sudah tiada. Dia meninggal dunia Disember lalu. Yang ada hanya kumpulan sayap kiri dan sekutu yang rapat dengan parti
pembangkang.
Mujurlah dalam perkembangan terbaru ini tentera tidak ikut sama menentang Arroyo. Jika tidak pasti peristiwa pahit sebelum ini akan berulang. Pada 1986, tentera dengan sokongan gereja membantu menumpaskan Marcos. Malah, tentera juga mengambil bahagian dalam enam cubaan merampas kuasa ketika era kepemimpinan Corazon Aquino, manakala pada 2001, tentera turut bertanggungjawab menggulingkan Estrada.
Dua tahun lalu, Arroyo pernah diancam oleh tentera. Ketika itu sekumpulan anggota tentera mengancam akan meletupkan kawasan kediaman di Manila jika Arroyo tidak meletak jawatan.
Beberapa minggu lalu, Arroyo sempat dikejutkan oleh seorang bekas pegawai kanan tentera yang juga antara perancang utama penggulingan Estrada, Jeneral Fortunato Abat apabila dia mendesak Arroyo meletak jawatan. Jauh sebelum itu, bekas Ketua Tentera Laut, Rex Robles yang turut terbabit ketika menggulingkan Marcos, memberi amaran kemungkinan berlakunya cubaan merampas kuasa.
Ternyata Arroyo kini tidak lagi selamat. Beliau berhadapan dengan pelbagai ancaman yang sukar untuk dikesan. Sebarang kesilapan mungkin menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan Malacanang.

No comments: