Thursday, June 29, 2006

Tahyul

KITA sering terpengaruh dengan tahyul. Sama ada orang Melayu, Cina, India atau bangsa apa sekali pun, kita begitu mudah percaya kepada perkara yang bukan-bukan. Malah, sejak kecil lagi kita sering terdedah kepada kepercayaan mengenai wujudnya hantu, jembalang, pelesit, bomoh, dukun dan ilmu ghaib.
Saya masih ingat ketika zaman kanak-kanak, kita meminta izin daripada ‘datuk nenek’ terlebih dulu sebelum buang air kecil di tepi hutan atau semak belukar. Begitu juga ada yang terlalu takut ketika melalui tanah perkuburan atau pokok besar yang sering dikaitkan dengan kawasan ‘keras’ dan berhantu.
Bagi orang Melayu, budaya kita juga banyak yang berkait dengan tahyul walaupun sebahagian daripadanya sudah tidak diamalkan lagi. Dulu kerap kita dengar orang berkunjung ke makam atau tempat keramat untuk membayar nazar, buang bala, mandi bunga dan macam-macam lagi.
Apabila dewasa, tahyul terus menjadi sebahagian daripada kita. Pantang melihat sesuatu yang aneh dan berbeza, kita mudah percaya. Lihat saja berapa ramai yang terjerumus dalam kesesatan kerana percaya kekuatan dan kehebatan manusia biasa, sehingga sanggup menduakan Allah SWT.
Dulu ramai yang terpengaruh dengan al-Arqam sehingga kumpulan itu diharamkan. Kini, ada 122 kumpulan ajaran sesat di seluruh negara dan 22 daripadanya bergerak aktif. Apa yang menghairankan, kumpulan ini berjaya menarik minat orang ramai, termasuk golongan profesional yang bukan calang-calang penguasaannya dalam ilmu dunia.
Terbaru kes ajaran sesat Ayah Pin yang berpangkalan di Hulu Besut, Terengganu. Kumpulan itu yang dipimpin Ayah Pin atau nama sebenar Ariffin Mohamad, 65, mempunyai lebih 1,000 pengikut, termasuk pegawai tinggi kerajaan dan ahli korporat. Mereka ini bukan saja di kalangan orang Islam, malah penganut agama lain.
Pengikutnya cukup taksub dengan Ayah Pin dan dalam serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Sabtu lalu, pengikutnya yakin Ayah Pin tidak ditangkap kerana dia ghaib. Malah, Ayah Pin sendiri mengaku mempunyai kuasa boleh membunuh seseorang melalui pemikirannya walaupun di mana berada.
Tahyul memang menyesatkan. Ia membuatkan orang yang tidak kuat iman hilang pedoman, tidak dapat membezakan yang mana lebih mempersona, ditakuti dan dihormati. Tuhan, orang yang dianggap sakti dan suci atau penghuni alam ghaib?
Tetapi dalam diam kita sebenarnya tidak dapat menolak semua itu. Ia ada di sekeliling kita dan terus mempengaruhi kita. Secara zahirnya kita menolak semua itu, tetapi tanpa disedari kita asyik dan terpesona dengannya.

No comments: