Friday, April 17, 2009

Jawa

USTAZAH Neneng belum pasti siapa yang akan dipilih pada pilihan raya presiden 5 Julai ini, tetapi lawatannya bersama lebih 60 anggota kumpulan pengajian agamanya ke Malaysia dan Singapura akhir minggu lalu dibiayai seorang daripada calon presiden yang bertanding. Malah, pada masa sama calon berkenaan turut membiayai satu lagi rombongan yang melawat Beijing dan Shanghai.
Ternyata, Indonesia juga tidak terlepas daripada politik wang, malah mungkin lebih hebat daripada kita. Sebelum ini, kita hanya dengar pemimpin politik kita membiayai rombongan penyokongnya ke Medan, Bandung dan Jakarta menjelang pemilihan bahagian, tetapi kini semakin dekat pilihan raya presiden, semakin banyak rombongan dari Indonesia melawat Malaysia dan lawatan mereka itu dibiayai calon tertentu.
Apa pun, 12 hari lagi rakyat Indonesia akan menempa sejarah kerana untuk pertama kalinya mereka berpeluang memilih sendiri presiden dan naib presiden, sesuatu yang baru dalam politik Indonesia. Jika lima presiden sebelum ini dipilih oleh wakil mereka di Majlis Pemusyawaratan Rakyat, kini mereka mengundi sendiri siapa yang akan memimpin Indonesia untuk tempoh lima tahun akan datang. Ketika ini, calon presiden dan naib presiden juga sedang sibuk berkempen. Setiap calon presiden bersama regu masing-masing.
Lima pasangan akan bertarung merebut kerusi presiden dan naib presiden. Mereka ialah Megawati Soekarnoputri yang bergandingan dengan Hasyim Muzadi, Susilo Bambang Yudhoyono-Jusuf Kalla, Wiranto-Salahuddin Wahid, Hamzah Haz-Agum Gumelar dan Amien Rais-Siswono Yudohusodo. Kempen kali ini juga menarik.
Calon yang bertanding menggunakan semua media untuk menarik sokongan rakyat, termasuk iklan di akhbar, televisyen dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Bagaimanapun, ada pihak tertentu yang menyalahgunakan kemudahan berkenaan untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah. Maka timbullah fitnah seperti Susilo bukan seorang Islam tetapi Kristian, manakala Parti Demokrat pimpinannya dipengaruhi oleh orang Kristian. Ada pula yang mendakwa Amien didokong oleh Amerika Syarikat, selain serangan terhadap Megawati melalui fatwa bahawa haram bagi orang Islam memilih wanita sebagai pemimpin.
Bagaimanapun, yang paling menarik ialah isu Jawa dan bukan Jawa serta keserasian regu yang bertanding. Sememangnya, kecuali B J Habibie yang bukan orang Jawa, empat lagi Presiden Indonesia iaitu Sukarno, Suharto, Abdurahman 'Gus Dur' Wahid dan Megawati adalah orang Jawa. Kali ini, di kalangan lima calon presiden, hanya seorang iaitu Hamzah bukan orang Jawa. Hamzah berasal dari Kalimantan Barat, Oleh itu, jika beliau menang bermakna Indonesia untuk kali kedua akan mempunyai presiden bukan orang Jawa. Sebelum ini, Habibie yang dilahirkan di Sulawesi Selatan dipilih sebagai Presiden Indonesia ketiga.
Bagaimanapun, di kalangan lima calon naib presiden pula, tiga daripadanya bukan dari Pulau Jawa. Hasyim dilahirkan di Nusa Tenggara Barat, Jusof lahir di Sulawesi, manakala Siswono kelahiran Kalimantan Timur.
Sebenarnya, soal Jawa atau bukan Jawa hanya timbul disebabkan corak pemerintahan pemimpin terdahulu yang terlalu berorientasi Jawa. Selama 32 tahun di bawah Suharto, segala-galanya berkiblatkan Jawa - dari politik, ekonomi, sosial, budaya, pendidikan hingga kepada program pembangunan, semuanya tertumpu di Jawa. Pulau Jawa adalah segala-galanya sedangkan daerah di luar Jawa terus terpinggir dan terkebelakang.
Geopolitik yang tidak adil ini menyebabkan munculnya jurang antara Jawa dan luar Jawa. Orang Jawa mengaut kekayaan yang tersebar luas di luar Pulau Jawa dan mengalirkannya ke Jawa. Akibatnya, orang bukan Jawa memberontak dan membangkitkan sentimen anti-Jawa.
Sebenarnya, persoalan ketidakadilan tidak ada hubungannya dengan Jawa dan luar Jawa. Ia adalah produk, watak dan kecenderungan kuasa yang tamak dan rasuah. Mereka membolot kekayaan tanpa memikirkan nasib orang lain.
Mengenai keserasian regu yang bertanding, kelima-lima pasangan mendakwa mempunyai kelebihan. Gandingan Megawati-Hasyim mengaku sebagai kombinasi abangan dan santri (Abangan merujuk kelompok yang mengaku Islam tetapi lebih menekankan adat serta tradisi yang bersifat mistik, manakala santri adalah golongan yang taat kepada agama Islam dan sering dikaitkan dengan pendidikan agama dan pondok). Pasangan Susilo-Jusuf pula mendakwa mewakili Jawa dan luar Jawa, Wiranto-Salahuddin menganggap mereka sebagai paduan tentera-awam, Amien-Siswono mewakili kelompok nasionalis-agama dan terakhir gandingan Hamzah-Agum sebagai pasangan agama-tentera.
Bagaimanapun, semua pasangan berkenaan masih tidak begitu mantap jika dibandingkan gandingan Sukarno-Hatta. Pasangan presiden dan naib presiden pertama itu dianggap yang terbaik sepanjang sejarah Indonesia. Ia adalah kombinasi padu yang menjadi idaman rakyat republik itu. Sukarno orang Jawa, Hatta dari luar Jawa. Sukarno nasionalis dan Hatta orang agama. Semoga rakyat Indonesia dapat memilih pemimpin yang terbaik bagi mereka.

No comments: